Am 28/11/2026 03:21 PM

KFC Malaysia Hargai Penghantar Makanan, Agih 33,000 Hidangan Percuma

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KFC Malaysia Hargai Penghantar Makanan, Agih 33,000 Hidangan Percuma
Penghantar makanan dari GrabFood, Foodpanda dan ShopeeFood menunjukkan baucar yang diberikan oleh KFC sempena inisiatif KFC Delivery Rider Appreciation bertemakan Rider Kita, Hero Kita! di KFC Kota Damansara DT.

PETALING JAYA, 27 Nov (Bernama) -- KFC Malaysia memperuntukkan sebanyak 33,000 hidangan percuma bernilai hampir RM300,000 kepada komuniti penghantar makanan di seluruh negara menerusi inisiatif KFC Delivery Rider Appreciation sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi kumpulan itu.

Menerusi inisiatif bertemakan “Rider Kita, Hero Kita!”, penghargaan itu melibatkan penghantar makanan daripada platform Foodpanda, GrabFood dan ShopeeFood, selain rakan penghantaran jarak akhir (last mile) daripada GrabExpress dan PandaGo. 

Berucap pada majlis pelancaran inisiatif itu di sini hari ini, Ketua KFC Malaysia, Brunei dan Kemboja Loi Liang Tok berkata komuniti penghantar makanan telah memainkan peranan penting dalam membantu menghubungkan jenama itu dengan pelanggan.

Beliau berkata sumbangan mereka dalam memastikan pelanggan menerima pesanan tanpa mengira keadaan cuaca dan kesesakan lalu lintas wajar dihargai memandangkan tugas berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Di KFC, kami melihat para rider bukan sekadar rakan penghantaran, tetapi sebahagian daripada komuniti penting dan rakan seperjuangan yang telah membantu menghubungkan KFC dengan pelanggan kami selama bertahun-tahun.

“Sebagai tanda terima kasih atas peranan penting yang dimainkan setiap hari, KFC dengan berbesar hati ingin menghadiahkan 33,000 set Nasi Original Recipe Padu bersama minuman kepada komuniti rider di seluruh negara,” katanya.

Loi berkata baucar hidangan percuma berkenaan akan diedarkan kepada penghantar makanan terpilih menerusi aplikasi platform penghantaran masing-masing berdasarkan pemilihan oleh rakan platform berkenaan.

Beliau berkata baucar itu boleh ditebus menerusi aplikasi atau laman sesawang KFC bermula hari ini hingga 28 Feb 2027, bagi membolehkan penerima menikmati hidangan berkenaan mengikut kesesuaian masa masing-masing melalui pesanan ambil sendiri (self-collect) di restoran KFC di seluruh negara.

Sementara itu, penghantar makanan ShopeeFood, Ramli Hassan, 40, menghargai usaha KFC yang menghargai usaha dan pengorbanan mereka.

“Biasa saya hanya menghantar makanan kepada pelanggan dan hari ini tidak sangka KFC pula belanja rider makan,” katanya.

Penghantar makanan wanita GrabFood  Normazilah Rosnan, 39 yang telah berkecimpung dalam bidang penghantaran makanan selama empat tahun pula berkata hidangan percuma itu memberikan kegembiraan kepadanya apabila dapat berkongsi makanan dengan ahli keluarga.

-- BERNAMA