Politik 28/11/2026 02:54 PM

PRN Sarawak: GPS Menang 29 Kerusi Cerminkan Kesatuan Parti Komponen - Ahmad Zahid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Sarawak: GPS Menang 29 Kerusi Cerminkan Kesatuan Parti Komponen - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap dengan pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Kongres India Malaysia (MIC) ke-80 di Austin International Convention Centre (AICC) hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHRU, 28 Nov (Bernama) -- Kemenangan tanpa bertanding Gabungan Parti Sarawak (GPS) di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 mencerminkan perpaduan dalam kalangan parti komponennya, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda baik selain berkata BN telah mengambil pendirian untuk tidak bertanding pada PRN berkenaan sebelum parti politik lain menyatakan keputusan sama. 

“Itu memperlihatkan adanya penyatuan dalam kalangan rakan-rakan parti komponen GPS,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MIC ke-80 di sini hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan kemenangan GPS di 29 kerusi DUN yang dimenangi tanpa bertanding iaitu rekod tertinggi dalam sejarah PRN Sarawak, mengatasi rekod 19 kerusi pada 1996.

Antara kerusi yang dimenangi ialah Gedong yang disandang Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Bukit Saban dan Bukit Sari yang masing-masing disandang Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut dimenangi tanpa bertanding kerusi Asajaya, Dalat, Sebuyau, Tupong, Samariang, Satok dan Repok.

Pada 15 Nov lepas, Ahmad Zahid mengumumkan BN tidak akan meletakkan calon di mana-mana kerusi  DUN pada PRN kali ini, selaras persefahaman bersama rakan politiknya di negeri itu.

Beliau turut menyatakan sokongan BN kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), satu daripada empat parti komponen GPS.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak pada 24 Nov turut mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding atas dasar menghormati kerjasama dan muafakat politik dengan GPS dalam Kerajaan Perpaduan.

SPR menetapkan hari pengundian awal PRN Sarawak ke-13 pada 8 Dis manakala hari pengundian pada 12 Dis depan.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.

-- BERNAMA