KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Axiata Group Bhd merancang menjual 15.64 peratus kepentingan ekuitinya dalam Edotco Group Sdn Bhd kepada Pulau Kendi Investments Ltd, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, pada harga RM659.4 juta.
Axiata, yang menilai Edotco pada RM11.8 bilion, memaklumkan cadangan penjualan itu merupakan sebahagian daripada satu siri urus niaga melibatkan Edotco Group, yang dijangka menjana hasil kasar kira-kira RM2.2 bilion kepada kumpulan itu.
“Selepas semua cadangan urus niaga itu selesai, Axiata dan Khazanah masing-masing akan memiliki kepentingan efektif kira-kira 47.355 peratus dalam Edotco Malaysia, sekali gus menjadikan kedua-duanya pemegang saham dengan pegangan sama rata dan kawalan bersama terhadap perniagaan infrastruktur telekomunikasi itu,” menurut Axiata dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pengerusi Axiata Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata cadangan urus niaga itu merupakan pencapaian penting dalam usaha mengoptimumkan portfolio kumpulan menerusi transformasi di bawah strategi Axiata28: Advancing Asia.
“Urus niaga itu akan mengekalkan pemilikan nasional, sekali gus memastikan kepimpinan Malaysia dalam infrastruktur telekomunikasi terus terpelihara, selain menyokong keterhubungan negara dan meningkatkan daya saing digital,” menurutnya.
Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata pelaburan itu mencerminkan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan Edotco Malaysia.
“Bersama-sama, Khazanah dan Axiata membawa semula modal ke Malaysia untuk merealisasikan nilai dalam negara, sambil menyokong pembangunan Edotco sebagai syarikat infrastruktur digital Malaysia,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada keseluruhan urus niaga itu, Khazanah akan meningkatkan pegangan sahamnya dalam Edotco kepada 47.35 peratus daripada 31.71 peratus, menyamai pegangan kira-kira 47.35 peratus yang dikekalkan Axiata dalam perniagaan Edotco yang sebahagian besarnya beroperasi di Malaysia.
Secara berasingan, perniagaan Edotco di Filipina, Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Kemboja akan beralih kepada pemilikan baharu, sekali gus membolehkan Axiata merealisasikan nilai daripada portfolio antarabangsanya.
Axiata memaklumkan cadangan urus niaga itu mencerminkan pendekatan Pengurusan Aset Pintar (Smart Asset Manager) di bawah strategi Axiata28: Advancing Asia, menerusi pengurusan portfolio secara aktif, peruntukan modal secara berdisiplin dan usaha merealisasikan nilai aset.
Kumpulan itu menjangka menggunakan hasil berkenaan untuk mengurangkan pinjaman, sekali gus mengurangkan tahap hutang, mengukuhkan kunci kira-kira serta meningkatkan fleksibiliti kewangan bagi meneroka peluang yang mampu memberikan pulangan menarik dalam jangka panjang.
Axiata turut memaklumkan bahawa Edotco dijangka membuat pengagihan terkumpul kira-kira RM2.469 bilion kepada pemegang saham sedia ada sebelum cadangan urus niaga itu dimuktamadkan, dengan Axiata turut menerima agihan berdasarkan pegangan ekuitinya pada masa berkenaan.
Berdasarkan penyata kedudukan kewangan disatukan Axiata yang telah diaudit setakat 31 Dis 2025, cadangan urus niaga itu dijangka memperbaik nisbah penggearan pro forma kumpulan daripada 0.71 kali kepada 0.50 kali.
Sekiranya kesemua enam perjanjian jual beli saham itu diselesaikan pada 1 Jan 2025, Axiata dijangka mengiktiraf keuntungan bersih kira-kira RM2.1 bilion, sekali gus menyumbang kepada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) disatukan pro forma kira-kira RM2.5 bilion.
-- BERNAMA