Am 23/11/2026 09:20 PM

Empat Rusa Sambar Dilepaskan Di Royal Belum Demi Kelangsungan Harimau Malaya

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Empat Rusa Sambar Dilepaskan Di Royal Belum Demi Kelangsungan Harimau Malaya
Kredit : WWF-Malaysia & Perbadanan Taman Negeri Perak

IPOH, 23 Nov (Bernama) -- Sebanyak empat ekor rusa sambar dilepaskan di Taman Negeri Royal Belum, Gerik Sabtu lepas sebagai sebahagian daripada usaha memperkaya populasi haiwan mangsa bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya di kompleks hutan Belum-Temengor.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa inisiatif strategik itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti, selaras dengan agenda Perak Sejahtera 2030.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara kerajaan negeri, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Majlis pelepasan itu dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak Datuk Halizah Sipun dan Pengarah PTNPk Lau Ching Fong.

Turut hadir wakil Perhilitan, Jabatan Perhutanan, NRES, Zoo Taiping, Pejabat Daerah dan Tanah Gerik, Yayasan Sultan Idris Shah II serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia), Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (RIMAU), Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), selain wakil komuniti Orang Asli setempat.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 30 ekor rusa sambar, dua ekor seladang dan 17 ekor babi hutan telah dilepaskan di Taman Negeri Royal Belum sejak 2021 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh rantaian makanan dan mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan berkenaan.

"Selain program pelepasan rusa sambar, delegasi turut mengadakan lawatan kerja ke kawasan pengayaan habitat yang dibangunkan khusus bagi meningkatkan kualiti habitat dan ketersediaan sumber makanan semula jadi untuk spesies herbivor seperti rusa sambar dan kijang," menurut kenyataan itu.

Pejabat itu memaklumkan bahawa Taman Negeri Royal Belum, yang merupakan antara kawasan perlindungan hutan penting di Perak dan Malaysia, terus mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi pelanjutan akreditasi Conservation Assured | Tiger Standards (CA|TS) tahun ini.

Menurut kenyataan itu, pelanjutan akreditasi berkenaan mencerminkan keberkesanan tadbir urus dan pengurusan kawasan perlindungan Harimau Malaya yang memenuhi piawaian pemuliharaan global.

"Selain itu, Taman Negeri Royal Belum terus mengekalkan rekod sifar jerat selama 39 bulan berturut-turut, sekali gus membuktikan keberkesanan langkah kawalan, rondaan dan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

"Kerajaan Negeri Perak akan terus komited untuk memelihara khazanah alam semula jadi negeri melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, rakan strategik dan komuniti setempat," menurut kenyataan itu.

Pejabat itu memaklumkan bahawa usaha pemuliharaan bersepadu berkenaan bukan sahaja penting bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya sebagai spesies ikonik negara, malah turut menjamin kelestarian ekosistem hutan demi kesejahteraan generasi akan datang.

-- BERNAMA