Am 23/11/2026 09:54 PM

PSAS: Malaysia Raih Kemenangan Ketiga, Benam AS 4-2

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PSAS: Malaysia Raih Kemenangan Ketiga, Benam AS 4-2
Pemain hoki negara, Rozemi Aiman (tengah) mengawal bola lawan ketika bertemu pasukan Amerika Syarikat pada saingan Piala Sultan Azlan Shah ke-32 di Stadium Hoki Azlan Shah malam ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

IPOH, 23 Nov (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-32 apabila menundukkan Amerika Syarikat (AS) 4-2 untuk melakar kemenangan ketiga berturut-turut di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Brendon Carolan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas membuka kempen dengan menewaskan Korea Selatan 3-0 sebelum membelasah Kanada 6-0 dalam aksi kedua.

Berbekalkan keyakinan tinggi, Speedy Tigers memulakan perlawanan dengan corak permainan agresif dan melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan, namun AS terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan padang Wyatt Kosmos-Katz pada minit ketujuh.

Tidak menunggu lama untuk bangkit, Malaysia memperhebat tekanan sebelum penyerang berpengalaman, Faizal Saari, menyamakan kedudukan menerusi gol padang pada minit ke-15.

Memasuki suku kedua, Malaysia terus memperkemas gerakan serangan dan hasilnya, Faiz Helmi Jali meletakkan tuan rumah di hadapan 2-1 menerusi jaringan padang pada minit ke-20, sekali gus memastikan kelebihan itu kekal sehingga rehat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Speedy Tigers tidak memperlahankan tempo permainan apabila Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari melebarkan kedudukan kepada 3-1 pada minit ke-40.

Faizal kemudian terus menyerlah apabila meledak gol kedua peribadinya tiga minit selepas itu untuk memberikan kelebihan selesa 4-1 kepada Malaysia, dengan kedua-dua jaringan pada suku ketiga itu terhasil menerusi gol padang.

Enggan menyerah kalah, AS di bawah bimbingan Allan Law cuba bangkit dan berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan padang Hans Kei Kaeppeler pada minit ke-52.

Bagaimanapun, keputusan 4-2 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus membolehkan Malaysia mengutip tiga lagi mata penting bagi meneruskan momentum positif dalam kejohanan berprestij itu.

Dalam dua aksi terdahulu hari ini, Korea Selatan menewaskan Kanada 2-0, manakala Australia mengatasi Pakistan 5-2.

 

Jadual Esok:

Korea Selatan lwn Pakistan - 3 petang

Kanada lwn Amerika Syarikat - 5.15 petang

MALAYSIA lwn Australia - 7.30 malam.

-- BERNAMA