Dunia 23/11/2026 09:24 PM

Bekas Presiden Brazil, Bolsonaro, Dimasukkan Ke Unit Rawatan Rapi Akibat Usus Tersumbat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bekas Presiden Brazil, Bolsonaro, Dimasukkan Ke Unit Rawatan Rapi Akibat Usus Tersumbat
Oct. 25, 2026.(AP Photo/Eraldo Peres)

MEXICO CITY, 23 Nov (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro, kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat masalah usus tersumbat namun keadaannya dilaporkan stabil dan belum ada tarikh beliau dibenarkan keluar dari hospital, menurut akhbar O Globo yang memetik kenyataan perubatan Hospital DF Star, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Bolsonaro dimasukkan ke hospital pada Jumaat di Brasilia selepas mengalami sakit perut yang teruk. Beliau didiagnosis mengalami masalah usus tersumbat secara akut. Pasukan perubatan menetapkan rawatan termasuk pemberian cecair melalui saluran intravena, menghentikan pengambilan makanan dan minuman melalui mulut, sokongan nutrisi serta pemasangan tiub gastrik.

Menurut laporan itu, bekas presiden berkenaan berada dalam keadaan sedar, peka dan mampu bernafas sendiri.

Doktor yang merawat Bolsonaro, Brazil Caiado berkata imbasan tomografi berkomputer (CT) menunjukkan hampir keseluruhan bahagian usus kecil tersumbat.

Pasukan perubatan tidak menolak kemungkinan pembedahan sekali lagi, namun akan memantau perkembangan keadaan pesakit dalam tempoh 24 jam akan datang sebelum memutuskan langkah rawatan selanjutnya.

Bolsonaro beberapa kali dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan sejak insiden serangan tikaman semasa kempen pilihan raya 2018 di Juiz de Fora.

Sejak kejadian itu, beliau mengalami masalah usus tersumbat dan komplikasi lain berkaitan bahagian abdomen secara berkala.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI