Am 23/11/2026 08:34 PM

Selangor Dalam Proses Rampas Tanah Dijadikan Tapak Pelupusan Sampah Haram Di Ijok

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Selangor Dalam Proses Rampas Tanah Dijadikan Tapak Pelupusan Sampah Haram Di Ijok
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan pek makanan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisi Selangor (NutriSel) SPM 2026 di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MTIS) Alam Impian, hari ini.

KUALA SELANGOR, 23 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor sedang melaksanakan proses merampas tanah yang digunakan sebagai tapak pembuangan sampah haram di kawasan Ijok, di sini bagi menangani isu pencemaran dan risiko banjir yang berulang.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata tindakan itu diputuskan susulan pencerobohan berhampiran Ban 6 Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh yang dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bagi membuka laluan membuang sampah secara haram di kawasan berkenaan.

"Kita (kerajaan negeri) sedang dalam proses pengambilan ataupun perampasan tanah di sini yang dijangka selesai pada akhir Mac depan. Kita telah bertindak, namun proses perampasan perlu mengikut prosedur dan memerlukan sedikit masa.

"Sebenarnya proses rampasan itu memerlukan tempoh selama enam bulan sepertimana kita pernah buat sebelum ini. Kita harap benda itu akan diselesaikan dengan segera," katanya selepas melawat kawasan Ban 6 RTB Sungai Buloh di Dewan Orang Ramai Seri Harmoni yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok Jefri Mejan, di sini hari ini.

Beliau berkata tapak berkenaan melibatkan dua lot, masing-masing seluas 0.4 hektar dan telah dikenal pasti menyalahi syarat penggunaan tanah pertanian apabila dijadikan tapak pelupusan sampah haram.

Dalam pada itu, Amirudin berkata tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas pemilik tanah yang terlibat walaupun mereka mendakwa tidak mengetahui aktiviti pelupusan sampah haram dijalankan di lot milik mereka.

"Sebagai penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri akan mengusahakan proses pengambilan tanah di Bukit Hijau, Jeram bagi membina kolam takungan bagi mengurangkan risiko banjir serta menyelaras bantuan sukarelawan dan pam tambahan kepada penduduk terjejas," katanya.

Beliau berkata pihak polis juga diminta untuk meningkatkan kawalan di kawasan Ban 6 RTB Sungai Buloh agar benteng itu tidak dirosakkan lagi. 

Katanya, langkah itu penting terutama ketika kawasan tersebut berdepan hujan lebat dan fenomena air pasang besar yang dijangka memuncak pada 25 Nov ini.

Amirudin turut dimaklumkan bahawa pengusaha tapak pembuangan sampah haram telah merosakkan struktur benteng itu sebanyak dua kali. 

“Menerusi taklimat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), air dari kawasan Sungai Buloh melimpah di jajaran benteng sepanjang kira-kira 200 meter pada 4 dan 17 Nov lepas. Akibatnya, air melimpah ke kawasan penempatan penduduk.

“Bagaimanapun, kerja pembaikan pada bahagian kritikal benteng sepanjang 60 meter kini sedang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, berhubung dakwaan penduduk mengenai pembangunan di sekitar kawasan perkuburan di Setia Alam, Shah Alam sebagai antara punca banjir di Meru minggu lepas, Amirudin memaklumkan pihaknya akan menyiasat perkara itu.

"Kita akan kenakan tindakan tegas tidak kira ia berstatus syarikat, anak syarikat atau individu. Jika kolam takungannya tidak berfungsi, kita akan kenakan tindakan henti tugas. Saya mahu pastikan mereka buat itu dulu, baru kita akan bagi mereka kebenaran untuk melanjutkan operasi," katanya.

-- BERNAMA