KUCHING, 23 Nov (Bernama) -- Golongan muda yang layak mengundi diingatkan supaya tidak memandang ringan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, memandangkan undi mereka turut menentukan hala tuju kepimpinan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penyertaan aktif golongan muda dalam proses pilihan raya amat penting, khususnya ketika jumlah pengundi dalam kelompok usia berkenaan semakin meningkat.
Beliau berkata ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran anak-anak mengenai tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran anak-anak mengenai tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Jangan tidak turun mengundi. Kita mahu selain daripada kemenangan besar, kita juga mahu nisbah keluar mengundi itu besar,” katanya ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan, hari ini.
Abdul Karim berkata pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara yang mencapai usia 18 tahun turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pengundi muda di Sarawak.
Menurutnya, golongan berkenaan dianggarkan merangkumi antara 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan pengundi di setiap kawasan pilihan raya.
PBB merupakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Dis ini.
Pada PRN Sarawak 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP dua kerusi.
-- BERNAMA