Am 23/11/2026 08:43 PM

Kerajaan Perlu Pastikan Anak Muda Peroleh Pekerjaan Sepadan Kemahiran - ABIM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Perlu Pastikan Anak Muda Peroleh Pekerjaan Sepadan Kemahiran - ABIM
kredit: ABIM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kerajaan perlu memastikan lebih ramai anak muda memperoleh pekerjaan sepadan dengan kemahiran, gaji yang membolehkan mereka menyara diri, membantu keluarga dan mula menyimpan pada tahun kelima pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

 Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan kestabilan pentadbiran dalam suasana politik yang mencabar berjaya menyaksikan ekonomi negara berkembang pada kadar 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, manakala pelaburan diluluskan mencecah RM350.4 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata kadar pengangguran pada suku ketiga tahun ini juga berada pada tahap 10 peratus, hampir sama dengan 9.9 peratus pada suku sama tahun sebelumnya dan lebih tiga kali kadar nasional.

“Gaji bulanan median pekerja warganegara sepenuh masa berumur 20 hingga 24 tahun pula meningkat daripada RM1,699 pada 2024 kepada RM1,931 pada 2025.

“Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 wajar diiktiraf, begitu juga peranan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam membantu penerima yang layak menampung keperluan asas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, beliau berkata daripada pelaburan diluluskan dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangkakan sebanyak 152,090 pekerjaan diwujudkan, kerajaan perlu melaporkan berapa banyak pekerjaan diwujudkan termasuk berapa banyak jawatan diisi golongan belia dan gaji ditawarkan.

Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata ABIM juga menyarankan kerajaan mengukur keberhasilan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) melalui kadar penempatan graduan dalam bidang berkaitan serta perkembangan gaji selepas enam dan 12 bulan bekerja.

“Kerajaan juga perlu menjelaskan tempoh pengecualian daripada kadar gaji minimum RM2,000 bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan hasil jualan di bawah RM50 juta, serta skop dan kaedah pelaksanaan kerangka gaji pokok permulaan RM2,500 bagi graduan dan pekerjaan separa mahir.

"Bagi pekerja gig, kesan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 perlu dinilai melalui pendapatan selepas kos bekerja, liputan perlindungan sosial dan tempoh penyelesaian pertikaian,” katanya. 

Beliau berkata ABIM turut menyeru kerajaan untuk menetapkan sasaran yang boleh diukur dan menerbitkan kemajuannya setiap suku tahun mengikut negeri dan kumpulan umur.

Katanya, pemantauan itu perlu mengambil kira kos asas seperti sewa, pengangkutan dan makanan di tempat anak muda tinggal dan bekerja.

“Dalam semangat Generasi Nusa Madani dan amanah menegakkan kebenaran dan keadilan, ABIM menyeru agar anak muda sendiri dilibatkan dalam menilai sejauh mana dasar ini memperbaiki kehidupan mereka,” katanya.

-- BERNAMA