KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh KJTS Group Bhd, KJ Technical Services Sdn Bhd (KJTS SB) menerima satu lagi subkontrak daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd (GESB) bagi projek pusat data berskala besar bernilai RM68 juta.
Pada 19 November, KJTS SB memeterai perjanjian dengan GESB bagi menjalankan kerja-kerja mekanikal untuk sebuah pusat data berskala besar kedua di Port Dickson, Negeri Sembilan, milik syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Berikutan pemberian kontrak berkenaan menjadikan nilai keseluruhan kontrak bagi subkontrak terdahulu menerusi Perjanjian No. 1 dan subkontrak baharu menerusi Perjanjian No. 2 meningkat kepada RM116 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, di bawah Perjanjian No. 2, tarikh penyempurnaan bagi fasa 1 dan fasa 2 masing-masing pada 22 April, 2028 dan 22 Julai, 2028.
Subkontrak baharu itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih KJTS Group sepanjang tempoh perjanjian berkenaan.
-- BERNAMA