Am 23/11/2026 08:05 PM

JSJN, TUDM Perkukuh Kerjasama Strategik Depani Cabaran Keselamatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JSJN, TUDM Perkukuh Kerjasama Strategik Depani Cabaran Keselamatan
kredit: FB Tentera Udara Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terus memperkukuh kerjasama strategik serta meningkatkan koordinasi antara kedua-dua agensi bagi mendepani cabaran keselamatan negara.

Perkara itu dibincang semasa kunjungan hormat Pengarah JSJN Datuk Hussein Omar Khan ke atas Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris di Markas Tentera Udara di sini.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, JSJN memaklumkan kunjungan itu bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJN dengan TUDM.

Hantaran itu turut memaklumkan pertemuan tersebut juga menjadi platform bertukar-tukar pandangan dan pengalaman serta meneroka ruang kerjasama dalam aspek keselamatan negara.

“Pertemuan ini mencerminkan komitmen kedua-dua agensi dalam memperkukuh sinergi, meningkatkan koordinasi serta memperkasakan kerjasama antara pasukan bagi mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks demi kepentingan dan kedaulatan negara.

“JSJN dan TUDM akan terus memperkukuh kerjasama strategik serta memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” menurut hantaran itu.

Yang turut hadir pada kunjungan berkenaan ialah Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) JSJN Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dan para pegawai jabatan itu.

Menurut hantaran itu, kerjasama lebih erat antara PDRM dan TUDM juga penting susulan pendedahan kes penyeludupan dadah berprofil tinggi membabitkan anggota pasukan keselamatan baru-baru ini.

Pada 17 Nov lepas, Hussein mengesahkan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM di sekitar Lembah Klang dan Labuan bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah berkenaan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan penahanan itu susulan penemuan dadah yang disembunyikan di dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang.

Dadah itu dikesan menerusi pemeriksaan rutin terhadap barangan sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM dan kejadian itu adalah kes pertama seumpamanya berjaya dipatahkan menerusi prosedur pemeriksaan tersebut.

-- BERNAMA