Am 23/11/2026 08:09 PM

Kerajaan Tidak Berhasrat Laksana Syarat Lesen Kepada Syarikat Penyedia Permainan Dalam Talian

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Tidak Berhasrat Laksana Syarat Lesen Kepada Syarikat Penyedia Permainan Dalam Talian
Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kerajaan tidak berhasrat mewujudkan syarat pelesenan khas buat syarikat penyedia permainan dalam talian seperti yang telah dilaksanakan kepada platform media sosial, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) kini sedang menjalankan kajian bagi menilai perkembangan risiko dan pendekatan kawal selia yang bersesuaian berkaitan perkhidmatan permainan dalam talian.

“Kajian ini merangkumi aspek keselamatan kanak-kanak, interaksi antara pengguna, ciri dan juga kandungan permainan serta langkah perlindungan yang dilaksanakan pemberi perkhidmatan.

“Selain itu, MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) turut meneliti amalan antarabangsa sebagai sebahagian daripada penilaian,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata hasil kajian CMCF akan menjadi asas dalam menentukan sama ada terdapat keperluan memperkenalkan langkah perlindungan atau pendekatan kawal selia tambahan yang bersesuaian dengan konteks Malaysia, dengan mengambil kira perkembangan industri, risiko dikenal pasti serta keberkesanan langkah perlindungan sedia ada.

Teo berkata setakat ini CMCF telah mengadakan rundingan awam bagi membangunkan subkod permainan (gaming subcode) sejak September lepas.

Beliau berkata ia antara lain melibatkan kumpulan kerja daripada pihak berkepentingan seperti pengendali, aplikasi, pembangun, pemainan tempatan dan antarabangsa, pakar keselamatan dalam talian, industri e-sukan, pengamal undang-undang dan penyelidik.

“Maklum balas yang diterima menerusi rundingan awam ini akan dipertimbangkan bagi menambah baik subcode tersebut.

“Sebarang keperluan untuk menyemak semula peraturan berkuat kuasa akan dinilai berdasarkan maklum balas pihak berkepentingan, perkembangan semasa, risiko yang dikenal pasti serta keberkesanan kerangka kawal selia sedia ada,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu adalah bagi memastikan kawal selia yang dilaksanakan kekal relevan berasaskan bukti dan berkadar dengan risiko, di samping mengutamakan keselamatan pengguna khususnya kanak-kanak dan remaja.

Dalam perkembangan lain, Teo berkata sebanyak 202,402 kandungan dalam talian berunsur penipuan telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan susulan permohonan MCMC bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Nov lepas.

Mengenai dakwaan syarikat kecerdasan buatan Anthropic bahawa teknologinya digunakan dalam operasi pengaruh politik yang menyasarkan pengguna di negara ini, Teo berkata kementerian masih menunggu maklum balas lanjut daripada syarikat terbabit berhubung perkara itu.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM2.613 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Komunikasi dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 19 Ahli Parlimen.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA