Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 23 Nov (Bernama) -- Singapura dan China pada Isnin mengumumkan 29 inisiatif baharu bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang termasuk perdagangan, kewangan, sains dan teknologi serta kesihatan awam.
Pengumuman itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-22 yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong dan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang.
Gan, yang juga Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri (Perdagangan), berkata kedua-dua negara terus mencapai kemajuan dalam tiga projek kerjasama antara kerajaan serta merentasi enam teras JCBC.
Beliau berkata skop perbincangan yang luas mencerminkan perkembangan hubungan kerjasama kedua-dua negara dari semasa ke semasa.
"Antara ciri utama yang membezakan hubungan Singapura-China ialah keupayaan kita untuk kekal relevan dan berpandangan jauh melalui pelbagai fasa pembangunan.
"Walaupun keadaan berubah, kedua-dua pihak terus menyesuaikan diri, memanfaatkan kekuatan yang saling melengkapi dan mengenal pasti bidang baharu bagi kerjasama praktikal," katanya dalam ucapan penutup yang disiarkan di laman web Pejabat Perdana Menteri Singapura.
Teks ucapan beliau turut disediakan menerusi laman web Pejabat Perdana Menteri.
Gan berkata Singapura dan China memperbaharui memorandum persefahaman mengenai Memperdalam Kerjasama dalam Perdagangan dalam Perkhidmatan bagi meluaskan peluang bagi perniagaan di kedua-dua negara membentuk perkongsian.
Beliau berkata kedua-dua negara juga sedang meneroka usaha menghubungkan sistem pembayaran pantas masing-masing bagi membolehkan pemindahan wang bernilai kecil.
"Ini akan melengkapkan rangkaian saluran pembayaran renminbi (RMB) yang semakin berkembang antara kedua-dua negara serta memudahkan rakyat dan perniagaan di Singapura mengakses pasaran China," tambah Gan.
Sementara itu, agensi Singapura dan China menandatangani perjanjian baharu bagi memudah cara pertukaran pengetahuan dan kepakaran dalam bidang kesihatan awam.
Gan berkata perjanjian itu akan membantu kedua-dua negara memperkukuh dasar awam masing-masing dengan memanfaatkan amalan terbaik antara satu sama lain.
-- BERNAMA