Ekonomi 23/11/2026 07:45 PM

KLCCP Stapled Group Catat Untung Bersih RM203.87 Juta Pada Suku Ketiga Tahun Kewangan 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KLCCP Stapled Group Catat Untung Bersih RM203.87 Juta Pada Suku Ketiga Tahun Kewangan 2026

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- KLCCP Stapled Group mencatatkan keuntungan bersih RM203.87 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2026 berbanding RM209.12 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Kumpulan itu merangkumi KLCC Property Holdings Bhd dan KLCC Real Estate Investment Trust.

Hasil kumpulan itu bagi suku yang dikaji meningkat kepada RM443.67 juta daripada RM429.69 juta disumbangkan oleh pertambahan aktiviti dalam segmen perkhidmatan pengurusan.

"Kos pembiayaan yang lebih rendah susulan pembiayaan semula sukuk murabahah KLCC Real Estate Investment Trust pada April 2026 turut menyokong prestasi suku berkenaan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, kumpulan itu berkata hasil segmen perkhidmatan pengurusan, yang merangkumi perkhidmatan pengurusan fasiliti dan tempat letak kereta, meningkat 13.7 peratus.

Peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh pendapatan parkir yang lebih tinggi susulan peluasan operasi tempat letak kereta serta peningkatan aktiviti penyelenggaraan fasiliti berjadual yang dilaksanakan oleh KLCC Urusharta sepanjang suku berkenaan.

Prestasi segmen pejabat kekal stabil pada suku berkenaan, disokong oleh aturan pajakan bersih tiga pihak serta perjanjian pajakan jangka panjang di Menara Berkembar PETRONAS, Menara 3 PETRONAS, Menara ExxonMobil dan Menara Dayabumi.

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen sebanyak 9.50 sen bagi setiap sekuriti stapel untuk suku berkenaan, menjadikan jumlah dividen terkumpul bagi tempoh sembilan bulan sebanyak 28.10 sen berbanding 27.90 sen pada tempoh sama tahun lepas.

-- BERNAMA