Am 23/11/2026 07:26 PM

ART Dijangka Mula Beroperasi Januari Depan – Abang Johari

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ART  Dijangka Mula Beroperasi Januari Depan – Abang Johari

KUCHING, 23 Nov (Bernama) -- Sistem pengangkutan awam moden, Autonomous Rapid Transit (ART), dijangka mula beroperasi pada Januari tahun depan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu bakal memperkukuh jaringan pengangkutan awam serta meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan di Sarawak, khususnya Samarahan dan Kuching.

“Pembangunan infrastruktur pengangkutan dan jaringan jalan raya itu sekali gus akan membuka lebih banyak peluang kepada aktiviti ekonomi dan pembangunan perumahan,” katanya ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Samarahan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin dilaporkan berkata operasi perintis ART di Kuching akan dimulakan menjelang akhir tahun ini bagi menguji prestasi, aspek keselamatan dan tahap kesiapsiagaan sistem berkenaan sebelum perkhidmatan itu beroperasi secara komersial.

Menurutnya, ujian berkenaan akan dilaksanakan di jajaran Laluan Biru Fasa 1 yang menghubungkan Rembus dengan Northbank.

Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang bermula pada November 2022 menyaksikan Depoh Rembus menjadi komponen pertama dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan sistem pengangkutan awam bersepadu di Kuching.

-- BERNAMA