KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kos operasi dan penyelenggaraan bangunan warisan yang tinggi, khususnya di ibu negara, mendorong Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) memohon pertukaran status tanah daripada komersial kepada institusi bagi membolehkan kadar premium nominal dikenakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata kutipan sewa dewan yang diterima KLSCAH daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak sampai 20 peratus daripada keseluruhan kos operasinya.
Beliau berkata KLSCAH sebelum ini dikenakan premium tanah sebanyak RM4.67 juta, namun kadar itu dikurangkan kepada RM1,000 selepas pertukaran syarat nyata tanah kepada kegunaan institusi, selaras dengan Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1995.
“Berikutan penetapan syarat nyata tanah yang telah dipinda kepada bangunan institusi yang mempunyai sekatan pembangunan komersial dan mengambil kira taraf warisan kebangsaan yang diterima sejak 2007, serta kepentingan memelihara warisan kebangsaan, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menetapkan kadar premium nominal sebanyak RM1,000,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan usul berkaitan pengurangan premium tanah KLSCAH membabitkan tujuh Ahli Parlimen pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Kebanyakan Ahli Parlimen terlibat meminta penjelasan berhubung keputusan kerajaan meluluskan premium nominal RM1,000 berbanding anggaran asal RM4.67 juta bagi pajakan 99 tahun tanah KLSCAH.
Menurut Hannah, KLSCAH yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Kebangsaan sepatutnya berpeluang memohon geran atau peruntukan kerajaan bagi kerja pemuliharaan dan pemeliharaan warisan, selaras dengan Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Bagaimanapun, beliau berkata KLSCAH tidak menerima sebarang geran atau peruntukan pemuliharaan daripada kerajaan sejak 2008, meskipun permohonan dibuat setiap tahun.
"Namun setiap tahun mereka memohon tapi tak dapat. Kos operasi sangat tinggi di Kuala Lumpur untuk bangunan seperti itu, jadi apabila mereka dah tak tahan, sebab itu mereka dengan rela hati mengemukakan permohonan untuk (status tanah) institusi sahaja," katanya.
Hannah turut menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menaikkan atau mengurangkan kadar premium tanah kerana keputusan berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.
Dalam pada itu, Hannah memberi jaminan akan terus melindungi tanah rizab Melayu dan kampung tradisi Melayu di Kuala Lumpur sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk Wilayah Persekutuan.
Ahli Parlimen Segambut itu berkata keluasan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur masih kekal 2,477.375 ekar (1002.6 hektar), sama seperti sebelum beliau dilantik ke jawatan itu.
"Tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur sebelum saya menjadi Menteri Wilayah kekal 2,477.375 ekar. Selepas saya menjadi Menteri Wilayah, keluasan itu masih kekal.
"Saya beri jaminan akan melindungi tanah rizab Melayu dan kampung tradisi Melayu kerana kebanyakannya terletak di kawasan Parlimen Segambut," katanya.
-- BERNAMA