KAJANG, 23 Nov (Bernama) -- Pernah melalui kehidupan di sebalik jeriji besi sebelum berjaya mengubah nasib menerusi pendidikan, Dr Malik Yatam kini mahu memastikan kisah perjalanannya itu turut memberi makna kepada mereka yang masih menjalani hukuman penjara.
Bekas penghuni penjara itu hari ini menyumbangkan 200 naskhah buku autobiografinya PhD dari Penjara kepada prospek Jabatan Penjara Malaysia dengan harapan kisah perubahan hidupnya dapat menyuntik semangat mereka untuk merebut peluang kedua.
Malik, 39, berkata pencapaiannya itu tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan Jabatan Penjara dan para pendidik yang membantunya sepanjang berada dalam penjara.
Berkongsi kisahnya, Malik yang berasal dari Kota Marudu, Sabah, berkata keinginan mendalami ilmu bermula selepas beliau memeluk Islam pada 2003 ketika sedang menjalani hukuman.
“Ilmu boleh memanfaatkan seorang Muslim, jadi bermula dari situ, saya minta untuk belajar,” katanya pada majlis Inspira Koreksional Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini.
-- LAGI
PENJARA-BUKU 2 (AKHIR) KAJANG
Turut hadir Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan) yang menjalankan tugas Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Zaidi Hamid.
Malik berkata beliau berdepan pelbagai cabaran, namun terus berusaha sehingga berjaya memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan ketika menjalani hukuman.
Beliau berkata kejayaan itu juga menjadi bukti bahawa seseorang yang pernah berdepan masa silam yang sukar masih mempunyai peluang mengubah kehidupan menerusi pendidikan dan usaha.
Selepas mendapat pengampunan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Malik meneruskan usaha membantu golongan prospek menerusi aktiviti keusahawanan termasuk membangunkan kebun cili fertigasi sebagai platform melahirkan usahawan dalam kalangan mereka.
Beliau berkata matlamatnya bukan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan, sebaliknya berkongsi ilmu yang diperolehnya dengan mereka yang memerlukan peluang kedua.
Malik dipenjarakan pada usia 14 tahun pada 2001 sebelum diberikan pengampunan diraja pada 11 Dis 2024 sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Selangor.
-- BERNAMA