Am 23/11/2026 01:32 PM

2,439 Program Jualan Rahmah Madani Dilaksana Di Johor Tahun Ini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
2,439 Program Jualan Rahmah Madani Dilaksana Di Johor Tahun Ini
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Lee Ting Han menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

ISKANDAR PUTERI, 23 Nov (Bernama) -- Sebanyak 2,439 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) telah dilaksanakan di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor tahun ini bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata kekerapan pelaksanaan inisiatif kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu telah dipertingkatkan hingga tiga kali sebulan bagi setiap DUN.

"Menerusi program ini, rakyat berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam, beras, telur, ikan dan sayur-sayuran pada harga diskaun antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran setempat.

"Kerajaan negeri melihat pelaksanaan PJRM oleh KPDN sebagai usaha yang saling melengkapi dengan Jualan Kasih Johor. Melalui penyelarasan baik, kedua-dua program ini dapat memberikan liputan yang lebih menyeluruh," katanya pada sesi persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, hari ini.

Beliau menjawab soalan Chua Jian Boon (BN-Layang-Layang) mengenai keberkesanan kedua-dua inisiatif berkenaan dalam menangani kos sara hidup serta perancangan memperluas capaian kepada penduduk luar bandar.

Lee berkata bagi memperluas capaian kepada penduduk luar bandar dan kawasan yang mempunyai akses terhad kepada pasar raya besar, KPDN melaksanakan pendekatan PJRM Bergerak dan PJRM Luar Premis bagi membawa barangan keperluan asas terus kepada masyarakat setempat.

Selain itu, KPDN bekerjasama dengan Pusat Khidmat DUN, Ketua Kampung dan Ahli Majlis dalam mengenal pasti serta menyelaras lokasi pelaksanaan setiap bulan berdasarkan permintaan dan keperluan penduduk, selain memperluas penyertaan kedai runcit serta pasar raya berskala kecil tempatan.

Dari segi penyelarasan dengan inisiatif negeri, beliau berkata Program Jualan Kasih Johor yang diperkenalkan sejak 2023 dijangka mencapai lebih lima juta penerima manfaat tahun ini melibatkan anggaran 1,032 lokasi dengan peruntukan RM53.067 juta, manakala RM30 juta lagi diperuntukkan menerusi Belanjawan Johor 2027 bagi 748 lokasi.

Bagaimanapun, Lee berkata PJRM dan Program Jualan Kasih Johor merupakan bentuk intervensi langsung sementara dan bukannya penyelesaian menyeluruh kepada cabaran kos sara hidup.

"Usaha membantu rakyat tidak boleh bergantung kepada jualan murah semata-mata. Ia mesti bergerak seiring dengan usaha meningkatkan pendapatan, menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik, memperkukuh produktiviti yang akhirnya meningkatkan kuasa beli isi rumah," katanya.

-- BERNAMA