Am 18/11/2026 09:22 PM

Pas Rapid Kembara Tujuh Hari Sokong Promosi Tahun Melawat Malaysia 2026-2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pas Rapid Kembara Tujuh Hari Sokong Promosi Tahun Melawat Malaysia 2026-2027
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd Dr Prodyut Dutt (dua, kanan) bergambar pada Majlis Pelancaran Rapid Kembara x Visit Malaysia 2026/2027 di Stesen Monorel Hang Tuah hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia Mohd Akbal Setia (kiri) dan Pengurus Besar Jabatan Pengurusan Pengalaman Pihak Berkepentingan dan Pemasaran Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Nachiappan Arasu (kanan). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersama Tourism Malaysia memperkenalkan Pas Rapid Kembara tujuh hari sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 yang menawarkan perjalanan tanpa had menggunakan rangkaian rel dan bas Rapid KL.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Dr Prodyut Dutt berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh peranan pengangkutan awam dalam menyokong sektor pelancongan, selain memudahkan pergerakan pengunjung.

“Melalui kerjasama dengan Tourism Malaysia, kami mahu menjadikan Rapid KL pilihan pertama pelancong untuk meneroka Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

“Kami memahami keperluan pelancong kini bukan sekadar mendapatkan kemudahan pengangkutan tetapi turut mengutamakan pengalaman perjalanan yang menyeluruh, merangkumi aspek ke destinasi menarik dan tawaran istimewa pada harga yang berpatutan,” katanya pada Majlis Pelancaran Kolaborasi Strategik Rapid Kembara X Tahun Melawat Malaysia 2026/2027.

Pas berharga RM110 itu turut menawarkan diskaun dan tawaran istimewa antara 10 hingga 50 peratus di lebih 40 premis rakan strategik meliputi kategori tarikan pelancongan, makanan dan minuman, gaya hidup serta perkhidmatan.

Ia tersedia di semua kaunter perkhidmatan Rapid KL mulai 1 Nov dan boleh dibeli melalui aplikasi Touch 'n Go eWallet sejak 2 Nov.

Dalam pada itu, Rapid KL turut menganjurkan kempen kembara Rapid Stamp Rally bermula hari ini hingga 17 Mei tahun hadapan, dengan 10,000 pembeli pas terawal di kaunter khidmat pelanggan Rapid KL akan menerima pasport Kembara Rapid.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata inisiatif itu turut menggalakkan pelawat menerokai pelbagai destinasi kebudayaan, pusat beli-belah, tarikan bandar dan lokasi tumpuan pelancongan menerusi rangkaian pengangkutan awam.

“Kami percaya kerjasama antara Tourism Malaysia, Prasarana dan rakan industri dapat memperluas promosi inisiatif ini melalui platform digital, pengoperasi dan pakej pelancongan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kemudahan akses ke pelbagai tarikan pelancongan menerusi rangkaian pengangkutan awam membolehkan pelawat meneroka keunikan budaya, gastronomi, seni, kraf dan gaya hidup masyarakat tempatan, di samping menyokong amalan pelancongan yang lebih lestari.

Mohd Amirul berkata pihaknya komited memperluas promosi penggunaan pengangkutan awam sebagai pilihan mobiliti pelancong untuk menerokai destinasi menarik di negara ini, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 dan slogan “Yang Indah, Destinasi Kita”.

Antara stesen yang terlibat dalam kempen berkenaan ialah Ampang Park, KLCC, Kampung Baru, Masjid Jamek, Pasar Seni, KL Sentral, Bukit Bintang, Bukit Nanas, Hang Tuah dan Pudu manakala premis rakan strategik, termasuk Jadi Batek, Immersify KL, Kakatoo, Sunway Velocity Mall dan DurianBB.

Malaysia merekodkan 32.3 juta pelawat antarabangsa dari Jan hingga Sept 2026, meningkat 2.4 peratus berbanding 31.5 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Selain itu, sebanyak 151.6 juta pelawat domestik direkodkan pada separuh pertama 2026, meningkat 5.6 peratus berbanding 143.5 juta dalam tempoh sama 2025.

-- BERNAMA