Am 15/11/2026 05:24 PM

MACX#1 2026 Himpun Pelbagai Aliran Seni Bela Diri, Raih Sambutan Menggalakkan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MACX#1 2026 Himpun Pelbagai Aliran Seni Bela Diri, Raih Sambutan Menggalakkan
Amirul Iman

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Malaysia Martial Arts & Combat Sports Exhibition 2026 (MACX#1) yang berlangsung selama tiga hari di sini berjaya menghimpunkan 18 persatuan seni bela diri tempatan dengan kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung.

Pengerusi Penganjur Amirul Iman Dollah berkata program yang bermula Jumaat lepas di sebuah pusat beli-belah di Setiawangsa di sini, itu turut menarik penyertaan hampir 500 peserta daripada pelbagai disiplin seni bela diri, khususnya karate-do, taekwondo dan silat.

Beliau berkata penganjuran itu bukan sahaja membuka ruang kepada pengamal seni bela diri mempamerkan kehebatan masing-masing, malah menjadi platform memperkenalkan kepelbagaian disiplin berkenaan kepada masyarakat umum.

“Perbezaan seni bela diri ini tidak menghalang untuk kita berada di sebuah program yang sama, di bawah satu bumbung, untuk memastikan kita dapat tunjukkan warna-warni keceriaan dan juga kehebatan setiap seni bela diri.

“Impaknya sangat positif. Ibu ayah dapat berinteraksi, masyarakat dapat bersama-sama menyaksikan keindahan, kehebatan seni bela diri ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Amirul Iman berkata antara pengisian utama program ialah Kejohanan AEON-IMAKARA Karate Kids edisi kelima semalam, ujian kenaikan tali pinggang Shitoryu Karate-Do Selangor yang melibatkan peserta berusia seawal lima hingga 47 tahun serta acara kemuncak MACX Warrior Arena hari ini.

Beliau berkata penganjuran itu turut mengetengahkan mesej kesedaran antibuli menerusi pengenalan filem berjudul Bully Is Not A Joke semalam sekali gus memperluas peranan seni bela diri sebagai medium pembentukan disiplin dan kesedaran sosial dalam kalangan masyarakat.

-- BERNAMA