Am 15/11/2026 05:33 PM

Tangki Pecah Di Kuala Kangsar Berusia Lebih 40 Tahun

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tangki Pecah Di Kuala Kangsar Berusia Lebih 40 Tahun
sumber: media sosial

IPOH, 15 Nov (Bernama) -- Kejadian sebuah tangki berkapasiti 455 meter padu yang pecah di Taman Kuala Kangsar dekat Kuala Kangsar dipercayai berpunca daripada keadaan struktur tangki yang telah berusia lebih 40 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata pusat operasi Lembaga Air Perak (LAP) Kuala Kangsar menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 5 petang, dan telah menjejaskan bekalan air kepada kira-kira 520 pengguna di kawasan sekitar.

Beliau berkata LAP telah melaksanakan kerja-kerja pencucian dan pembersihan jalan di sekitar tangki,  serta bekalan air secara terus melalui paip utama ke kawasan yang terlibat, iaitu Taman Kuala Kangsar dan Taman Meranti telah dilaksanakan.

"Kerja-kerja membuka kesemua panel tangki yang terjejas telah dijalankan serta merancang kerja penggantian tangki baharu.

"Selain itu, LAP melaksanakan penilaian teknikal secara menyeluruh terhadap struktur tangki lama sebelum kerja pemasangan tangki baharu dijalankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammad Nizar berkata hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tangki yang pecah itu telah  mengakibatkan air melimpah memenuhi kawasan jalan sekitar, namun tiada sebarang aduan kemalangan jiwa atau harta benda diterima setakat ini.

"Pemeriksaan ke atas kediaman yang terletak paling hampir dengan tangki berkenaan juga mendapati rumah tersebut berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kerosakan," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata bekalan air di kawasan terlibat adalah stabil dan tidak terjejas, serta pusat operasi LAP Kuala Kangsar akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada gangguan bekalan air berlaku serta mengelakkan kejadian sama berulang.

Tular beberapa video melalui media sosial sejak semalam mengenai kejadian tangki pecah berkenaan sehingga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.

-- BERNAMA