KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dan Perak menunjukkan penurunan setakat 4 petang ini.
Di SELANGOR, sebanyak 1,399 mangsa daripada 370 keluarga masih berlindung di enam PPS di Kuala Selangor berbanding 1,493 mangsa daripada 398 keluarga pagi tadi.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang menempatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 420 orang, diikuti SK Dato’ Maharaja Lela (391), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (287), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (119) dan Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (114) dan SRA Batu 8 Ijok (68).
Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 191 orang daripada 58 keluarga berbanding 293 orang daripada 85 keluarga pagi tadi.
Kesemua 191 mangsa itu berlindung di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di daerah Hilir Perak.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan PPS SK Khir Johari di daerah Muallim yang menempatkan 94 orang daripada 25 keluarga ditutup apabila banjir di Kampung Berop pulih sepenuhnya.
-- BERNAMA