KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Ketua jurulatih interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe melihat lebih banyak aspek positif daripada negatif dalam kekalahan 0-2 kepada China pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong semalam.
Cheng Hoe berkata pemain negara menunjukkan prestasi terbaik untuk menyaingi kehebatan lawan pada kedudukan ke-96 dunia itu, terutama pada separuh masa kedua selepas ketinggalan dua gol pada babak pertama.
Beliau berkata kelemahan pada bahagian tengah, sedikit sebanyak menjejaskan kawalan bola Malaysia di separuh masa pertama, namun perlawanan itu memberi peluang kepada beberapa pemain untuk menimba pengalaman peringkat antarabangsa.
“Kalau lihat perlawanan menentang China semalam, memang kita tahu kelemahan dan kekuatan kita. Pemain sudah menunjukkan prestasi terbaik dan kita melihat banyak perkara positif daripada negatif.
“Penting untuk beri peluang pemain-pemain dapat pengalaman bermain pada peringkat antarabangsa terutama bertemu China yang kuat dari segi fizikal dan taktikal. Sebagai jurulatih, saya berpuas hati dengan persembahan setiap individu dalam pasukan,” katanya dalam klip video kepada media, hari ini.
Beliau mengakui kekalahan itu sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan pasukan, namun berharap pengalaman dan momentum yang dibina, terutama pada separuh masa kedua, dapat dibawa ke perlawanan menentang Yemen pada satu lagi aksi antarabangsa Tier 1 di venue sama, Selasa ini.
“Kita akan teruskan momentum dan mahu mendapatkan kemenangan untuk meningkatkan keyakinan pasukan bagi menghadapi cabaran akan datang,” kata Cheng Hoe.
Pada aksi semalam, China mendahului menerusi jaringan Wang Yudong pada minit ke-10, sebelum Kapten Zhang Yuning menggandakan kelebihan sembilan minit kemudian.
Malaysia, yang beraksi tanpa beberapa tonggak utama, memperkemas permainan pada babak kedua dan hampir merapatkan kedudukan menerusi Fergus Tierney pada minit ke-77, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesan kekasaran dalam gerakan serangan.
Tierney kemudian dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan selepas mengutip dua kad kuning.
Sebagai rekod, Malaysia berada pada kedudukan ke-133 dunia, sementara Yemen ke-144.
-- BERNAMA