Dunia 14/11/2026 12:38 PM

Lebih 100 Dokumen Hasil Dijangka Pada Sidang Kemuncak ASEAN Di Manila

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebih 100 Dokumen Hasil Dijangka Pada Sidang Kemuncak ASEAN Di Manila
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Theresa Lazaro, tengah, menyampaikan kenyataan pembukaan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Manila, pada Sabtu, 14 Nov 2026. (Jam Sta Rosa/Pool Photo via AP)

Daripada Linda Khoo and Nabilah Saleh

MANILA, 14 Nov (Bernama) -- Lebih 100 dokumen hasil yang merangkumi tiga tonggak komuniti ASEAN serta hubungannya dengan rakan luar dijangka dikeluarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro.

Beliau berkata sidang kemuncak yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 17 Nov di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina itu akan menyaksikan penyerahan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, pelancaran lambang ASEAN yang dikemas kini serta upacara menaikkan bendera versi terbaharunya.

Beliau berkata perbincangan akan berpandukan tiga keutamaan kepengerusian ASEAN oleh Filipina, iaitu Tunjang Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran dan Pemerkasaan Rakyat.

"Dokumen-dokumen ini memajukan kerjasama dalam keutamaan serantau yang penting, termasuk keamanan dan keselamatan, kerjasama maritim, jenayah rentas sempadan, perdagangan dan pelaburan, transformasi digital, rantaian bekalan berdaya tahan, kesalinghubungan, pembangunan mampan, ketahanan bencana, perlindungan sosial, pemerkasaan wanita dan belia serta kerjasama dengan rakan luar, antara lain," katanya kepada Bernama dalam temu bual secara bertulis.

Antara dokumen yang dijangka diterima pakai oleh pemimpin ASEAN ialah keputusan mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) berkaitan Myanmar.

Pemimpin ASEAN juga dijangka menerima pakai deklarasi mengenai perlindungan hak kanak-kanak dalam talian serta pengukuhan kerjasama antara negara anggota bagi mencegah, mengesan, menyiasat dan memerangi eksploitasi serta penderaan seksual kanak-kanak dalam persekitaran digital, termasuk yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Lazaro berkata deklarasi itu akan menegaskan semula komitmen ASEAN untuk melindungi hak kanak-kanak dalam talian serta memperkukuh kerjasama antara negara anggota dalam mencegah, mengesan, menyiasat dan memerangi penderaan sedemikian.

Mengenai kerjasama maritim, Lazaro berkata menteri-menteri luar ASEAN dijangka menerima pakai nota konsep dan terma rujukan bagi cadangan penubuhan Pusat Maritim ASEAN di Filipina, manakala pemimpin ASEAN dijangka mengambil maklum kedua-dua dokumen itu pada sidang kemuncak berkenaan.

Pusat itu akan menyokong perkongsian maklumat, penyelidikan bersama dan pembinaan kapasiti.

Mengenai Laut China Selatan, Lazaro berkata pemimpin ASEAN dijangka memberi panduan dalam memajukan rundingan mengenai Kod Tatalaku (COC) yang berkesan dan substantif selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

Beliau berkata pemimpin ASEAN juga dijangka menekankan kepentingan menahan diri serta langkah praktikal bagi mencegah kemalangan dan silap perhitungan di laut.

Lazaro berkata Filipina juga akan mengambil maklum satu rangka kerja yang bertujuan meningkatkan penyelarasan antara mekanisme tindak balas bencana ASEAN.

Deklarasi untuk memperkukuh perlindungan sosial bagi golongan rentan dan kenyataan belia mengenai daya tahan digital juga dijangka diterima pakai.

Pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-21, Filipina telah mencadangkan dua dokumen untuk diterima pakai oleh pemimpin, iaitu Deklarasi Sidang Kemuncak Asia Timur mengenai Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama: Kestabilan dan Pembaharuan serta kenyataan pemimpin mengenai pengukuhan kerjasama dalam memerangi penipuan dalam talian dan kesalahan berkaitan.

Lazaro berkata negara anggota ASEAN masih mengadakan rundingan mengenai beberapa dokumen hasil menjelang sidang kemuncak itu.

"Namun begitu, kami tetap yakin bahawa melalui libat urus yang konstruktif dan selaras dengan prinsip konsensus ASEAN yang telah lama diamalkan, perkara yang masih belum diselesaikan ini dapat ditangani dengan sewajarnya," katanya.

-- BERNAMA