Daripada Linda Khoo and Nabilah Saleh
MANILA, 14 Nov (Bernama) -- Timor-Leste mencatat kemajuan ketara pada tahun pertama sebagai anggota ASEAN dengan menyertai instrumen perundangan yang merangkumi ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro.
Beliau berkata penyertaan itu menunjukkan kemajuan dalam pelaksanaan Pelan Hala Tuju bagi Keanggotaan Penuh Timor-Leste dalam ASEAN, yang menghendaki negara berkenaan melaksanakan dan mematuhi triti, konvensyen serta perjanjian blok serantau itu.
"Kami kekal komited untuk menyokong integrasi penuh dan penyertaan aktif Timor-Leste dalam semua mesyuarat serta mekanisme ASEAN," katanya kepada Bernama dalam temu bual secara bertulis.
Lazaro berkata sokongan itu akan merangkumi bantuan praktikal yang disesuaikan dengan keperluan Timor-Leste ketika negara berkenaan melaksanakan baki komitmennya di bawah pelan hala tuju itu.
Beliau menggalakkan negara anggota ASEAN dan rakan luar membantu Timor-Leste membina kapasiti yang diperlukan bagi memenuhi kewajipan keanggotaannya serta mengambil bahagian sepenuhnya dalam gerak kerja blok berkenaan.
Lazaro berkata Protokol Cebu secara rasmi mencerminkan kemasukan Timor-Leste dan menandakan pindaan pertama terhadap Piagam ASEAN sejak 2007.
"Ini merupakan pencapaian penting dalam evolusi berterusan ASEAN ke arah menjadi sebuah komuniti serantau yang lebih kukuh dan inklusif," katanya.
Negara anggota ASEAN kini sedang melaksanakan prosedur domestik masing-masing bagi meratifikasi protokol itu.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 17 Nov di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina dijangka menyaksikan pelancaran lambang ASEAN yang dikemas kini serta upacara menaikkan bendera versi terbaharu blok itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan.
-- BERNAMA