KOTA TINGGI, 14 Nov (Bernama) -- Kos tambahan susulan penggunaan peluru berpandu Atmaca buatan Turkiye bagi kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melibatkan kerja integrasi dan sistem pelancar, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata kerajaan telah membuat tempahan peluru berpandu Atmaca bagi kapal misi pesisir (LMS), membolehkan sebahagian daripada tempahan itu digunakan untuk LCS sebagai pengganti peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dari Norway.
“… kos (tambahan) integrasi dan pelancar. Apabila Norway pulangkan semula duit kita, baru kita akan guna untuk bayar misil baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Panchor di sini hari ini.
Mohamed Khaled bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kos tambahan itu kerana ia masih dalam rundingan.
Beliau berkata peluru berpandu Atmaca yang ditempah bagi LMS dijangka siap pada 2028 dan penggunaan sistem sama membolehkan kementerian memanfaatkan tempahan sedia ada.
Ditanya mengenai keyakinan kerajaan mendapatkan semula bayaran daripada Norway, Mohamed Khaled berkata perkara itu berkemungkinan memerlukan tindakan undang-undang termasuk proses timbang tara atau mahkamah.
“Katakan kita pergi timbang tara (tetapi) banyak orang tidak patuh pada timbang tara. Ia mungkin berlaku dan kita kena ke mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, Mohamed Khaled berkata kerajaan memilih Turkiye sebagai negara pembekal alternatif bagi menggantikan sistem NSM selepas menilai cadangan dari beberapa negara termasuk Perancis dan Itali, berdasarkan aspek harga, tempoh penyerahan serta kos pendahuluan.
Beliau berkata rundingan lanjut akan diadakan dengan pihak Turkiye bagi memuktamadkan perolehan itu termasuk memastikan kesesuaian dan integrasi sistem peluru berpandu berkenaan dengan LCS.
Pada 19 Mei, Kementerian Pertahanan mengeluarkan notis tuntutan terhadap syarikat pengeluar pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace AS bagi mendapatkan pampasan kira-kira RM1 bilion susulan pembatalan permit eksport NSM.
Jumlah itu merangkumi kos langsung sebanyak EUR126 juta (RM583.47 juta) yang telah dibayar kerajaan serta tuntutan kerugian tidak langsung.
– BERNAMA