Am 14/11/2026 12:56 PM

MACX#1 2026 Perluas Kerjasama Komuniti Seni Bela Diri, Perkasa Generasi Muda

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MACX#1 2026 Perluas Kerjasama Komuniti Seni Bela Diri, Perkasa Generasi Muda
Dua atlet seni mempertahankan diri, Wan Amin Naim Wan Muhammad Nasiruddin (kanan) dan Wan Arief Najmie Wan Muhammad Nasiruddin (kiri) melakukan demonstrasi sukan berkenaan selepas sidang media mengenai MACX#1. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Penganjuran Malaysia Martial Arts & Combat Sports Exhibition 2026 (MACX#1) menjadi permulaan kepada usaha memperluas kerjasama komuniti seni bela diri termasuk jurulatih dan atlet dalam mewujudkan ekosistem pembangunan sukan lebih inklusif serta mampan.

Penaung MACX#1 2026 Alyas Roy Amir berkata penganjuran acara itu bukan sekadar mempromosikan seni bela diri sebagai aktiviti sukan atau pertandingan, malah membawa aspirasi lebih luas bagi membentuk generasi muda.

“Seni bela diri bukan sekadar mengajar seseorang untuk mempertahankan diri tetapi juga membentuk disiplin, kesabaran, kawalan emosi, keberanian dan rasa hormat terhadap orang lain.

“Kekuatan sebenar bukan pada keupayaan menewaskan seseorang tetapi pada kebijaksanaan untuk mengawal diri dan menggunakan kekuatan secara bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alyas berkata seni bela diri berpotensi besar sebagai medium pendidikan tidak formal dalam membantu kanak-kanak dan remaja membina karakter, meningkatkan keyakinan diri serta memupuk semangat kerjasama serta kepimpinan.

Antara pengisian utama MACX#1 2026 ialah kejohanan 5th AEON–IMAKARA Karate Kids Championship 2026 selain pengenalan filem tempatan bertajuk Bully: Is Not A Joke yang mengetengahkan isu buli dan kepentingan membina kesedaran masyarakat terhadap kesan negatif perbuatan tersebut.

Penganjuran MACX#1 2026 yang bermula semalam di sebuah pusat beli-belah di Setiawangsa di sini berakhir esok.

-- BERNAMA