Am 14/11/2026 12:44 PM

Program Waqf Run 2026 Kumpul Lebih RM80,000 Kutipan Wakaf Tunai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Program Waqf Run 2026 Kumpul Lebih RM80,000 Kutipan Wakaf Tunai
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Zulkifli Ali (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan (lima kanan) bergambar bersama peserta pada Program MAIDAM Waqf Run 2026 di Taman Tamadun Islam hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA TERENGGANU, 14 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM81,577.85 sumbangan wakaf tunai berjaya dikumpul melalui Program MAIDAM Waqf Run 2026 yang berlangsung di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata program yang bertujuan menyemarakkan budaya berwakaf itu berjaya menarik penyertaan 1,044 peserta yang prihatin dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi umat Islam melalui instrumen wakaf.

Beliau berkata sumbangan tersebut akan digunakan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan masyarakat menerusi peruntukan Wakaf serta Sumber Am MAIDAM. 

"Sesungguhnya, setiap sumbangan yang diberi memberikan nilai besar dalam membina manfaat berpanjangan kepada generasi akan datang. Antara inisiatif yang mendapat manfaat termasuklah sumbangan kebajikan anak yatim, penyelenggaraan kubur, penyediaan peralatan pengurusan jenazah, program keagamaan di masjid dan surau serta bantuan kepada sekolah agama.

"Bagi memudahkan masyarakat berwakaf, MAIDAM menyediakan pelbagai saluran termasuk pembayaran di kaunter, tabung-tabung wakaf, kemudahan JomPAY, PFX, QR DuitNow serta potongan gaji. Kemudahan ini membolehkan orang ramai menunaikan sumbangan wakaf dengan lebih mudah, cepat dan mengikut kesesuaian masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program MAIDAM Waqf RUN 2026 di TTI.

Ahmad Azrin berkata MAIDAM Waqf Run 2026 bukan sekadar program sukan dan riadah, tetapi juga menjadi platform dakwah dan kesedaran yang menggabungkan elemen kesihatan, kebersamaan serta amal jariah.

Beliau berkata pendekatan itu membuktikan bahawa amalan berwakaf boleh dilaksanakan di setiap lapisan masyarakat melalui pelbagai cara mengikut kemampuan masing-masing.

Lebih menarik, setiap peserta turut menikmati manfaat pelepasan cukai pendapatan sebanyak 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah Subseksyen 44(11D) Akta Cukai Pendapatan 1967, tertakluk pada syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Program itu turut diserikan dengan Slot Subuh Macam Jumaat bersama-sama duta selebriti KMI Healthcare Alif Satar dan tazkirah khas oleh Ustaz Mohd Norhisyam Tuan Padang yang bertujuan menyemarakkan penghayatan agama kepada peserta serta masyarakat yang hadir.

"Selain aktiviti larian, peserta berpeluang menikmati pelbagai tarikan di TTI menerusi inisiatif Jom Terokai Taman Monumen, TTI River Cruise dan TTI Mini Zoo. Reruai jualan, pameran dan promosi daripada pelbagai agensi dan rakan strategik turut diadakan," katanya.

Dalam pada itu, MAIDAM turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik termasuk KMI Healthcare, Permodalan Wakaf Nasional Bhd, TTI Management Sdn Bhd, Kelab Olahraga Alam Sinergi, Affin Islamic Bank Bhd (Affin), In Saff Travel & Tours Sdn Bhd dan MAIDAM Property Sdn Bhd (MPSB) yang memberikan sumbangan besar bagi memastikan program berjalan lancar.

Beliau berkata program MAIDAM Waqf Run 2026 akan dijadikan agenda tahunan bagi memperluas penyertaan masyarakat dalam ekosistem wakaf, selain memperkukuh peranan wakaf sebagai pemangkin pembangunan ummah dan kesejahteraan Terengganu.

"Tahun depan kita rancang untuk adakan program Waqf Run di semua lapan daerah di Terengganu, dengan Kuala Terengganu menjadi lokasi akhir.

"Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai agar bersama-sama menyumbang kepada wakaf tunai untuk kita membangunkan aset kekal bagi manfaat umat Islam. Kita ada aset seperti tanah wakaf, tetapi kekurangan wakaf tunai membantutkan usaha kita membangunkan aset-aset berkenaan," katanya.

-- BERNAMA