JOHOR BAHRU, 14 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah supaya pihak berkuasa, sektor swasta dan masyarakat menilai kesan pembangunan pusat data di negara ini, khususnya terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Seri Paduka Baginda bertitah penilaian itu perlu mengambil kira penggunaan elektrik dan air yang sangat tinggi, penyalahgunaan tanah serta kesan terhadap kehidupan masyarakat setempat.
“Saya berharap pihak berkuasa, pihak swasta dan juga masyarakat dapat menilai kesan pusat data atau data centres di negara ini.
“Kita perlu mempertimbangkan keperluan penggunaan elektrik dan air yang sangat tinggi, penyalahgunaan tanah serta kesan pusat data terhadap masyarakat kita, termasuk tahap bunyi bising dan kecerahan lampu yang digunakan sepanjang hari sampai ke waktu malam,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen ke-70 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini, yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook UTM.
Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM bertitah kemajuan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada kelestarian bumi, lebih-lebih lagi apabila aktiviti manusia telah memberikan impak besar terhadap perubahan iklim, pencemaran, kehilangan biodiversiti dan sumber alam.
Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru supaya masyarakat berilmu memainkan peranan dalam menangani kerosakan alam semula jadi melalui perubahan sikap dan rasa tanggungjawab untuk memelihara bumi demi generasi akan datang.
Dalam pada itu, Raja Zarith Sofiah bertitah teknologi kecerdasan buatan (AI) sepatutnya dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan bukan semata-mata bagi meraih keuntungan ekonomi.
Seri Paduka Baginda bertitah sebagai universiti penyelidikan yang menerajui penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama di Malaysia, UTM memikul tanggungjawab penting dalam memastikan pembangunan teknologi terus dipandu oleh etika, integriti dan nilai kemanusiaan.
Raja Permaisuri Agong turut mengingatkan graduan bahawa perkembangan pesat AI membawa peluang dan cabaran besar, sekali gus menuntut mereka untuk terus meningkatkan ilmu serta kemahiran bagi menghadapi perubahan teknologi.
Majlis Konvokesyen ke-70 UTM yang berlangsung selama enam hari bermula hari ini hingga 19 Nov di Dewan Sultan Iskandar meraikan sebanyak 7,369 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian, melibatkan 10 sesi penganugerahan.
– BERNAMA