Politik 14/11/2026 12:10 PM

Kezaliman Tidak Boleh Dibiarkan Atas Nama Agama - Fadhlina

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kezaliman Tidak Boleh Dibiarkan Atas Nama Agama - Fadhlina
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Tindakan mewajarkan kezaliman sesebuah kepimpinan bersandarkan sentimen agama disifatkan sebagai satu generalisasi berbahaya yang meletakkan identiti mengatasi prinsip keadilan dan integriti.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata ajaran Islam tidak pernah memberikan kekebalan moral kepada mana-mana pemerintah.

Sebaliknya, beliau berkata prinsip al-adl (keadilan) dalam Islam menuntut agar keadilan ditegakkan secara saksama tanpa mengira latar belakang agama, kaum mahupun kedudukan seseorang.

"Rasuah dan penyelewengan tetap merupakan kezaliman yang wajib ditentang. 

"Amat mendukacitakan apabila sentimen agama terus diperalatkan dalam politik sehingga merosakkan kepercayaan antara masyarakat berbilang agama," katanya dalam catatan di Facebook. 

Fadhlina berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dilaporkan mendakwa bahawa pemerintah Islam, walau sejahat mana sekalipun, tidak akan sezalim pemerintah bukan Islam.

-- BERNAMA