KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Uzbekistan mempelawa penggiat industri pelancongan Malaysia menyertai Pameran Pelancongan Antarabangsa Tashkent Ke-31, “Tourism on the Silk Road - TITF 2026”, antara acara pelancongan terpenting di Asia Tengah yang akan berlangsung dari 25 hingga 27 Nov 2026.
“TITF berfungsi sebagai platform perniagaan ke perniagaan (B2B) yang berkesan dengan menghimpunkan pengendali pelancongan, wakil kerajaan, organisasi antarabangsa dan profesional industri pelancongan dari seluruh dunia,” menurut Kedutaan Uzbekistan di Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat.
“Pameran ini menyediakan peluang berharga untuk menjalin kerjasama perniagaan, meneroka pasaran baharu, membangunkan laluan pelancongan serta memeterai perjanjian yang memberikan manfaat bersama,” menurut kedutaan itu sambil menambah bahawa acara berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Pelancongan dengan kerjasama UN Tourism, yang dahulunya dikenali sebagai Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO).
Kedutaan itu memaklumkan bahawa delegasi yang diketuai Tourism Malaysia sering menyertai TITF bagi mempamerkan kepelbagaian tarikan pelancongan Malaysia, mempromosikan negara ini sebagai destinasi pelancongan pilihan serta memperkukuh hubungan pelancongan dengan Uzbekistan dan rantau Asia Tengah secara keseluruhannya.
“Pihak Uzbekistan mengalu-alukan penyertaan agensi pelancongan, pengendali pelancongan, hotel, persatuan pelancongan dan pihak berkepentingan lain dalam industri pelancongan Malaysia pada TITF 2026.
“Penyertaan mereka akan membuka peluang yang baik untuk menjalin hubungan perniagaan baharu, meneroka peluang pelaburan dan kerjasama serta terus memperkukuh kerjasama pelancongan antara Malaysia dengan Uzbekistan,” menurut kedutaan itu.
Kedutaan itu berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen bersama Uzbekistan dan Malaysia untuk memperkukuh hubungan pelancongan dua hala, mempromosikan warisan budaya dan agama, memperluas kerjasama perniagaan serta mewujudkan peluang baharu bagi hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
“Dengan peningkatan kesalinghubungan udara, peluasan kemudahan pelancongan mesra Muslim serta kerjasama aktif antara institusi, kedua-dua negara sedang membina asas kukuh bagi pertumbuhan selanjutnya dalam jumlah pelancong antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, penggiat industri pelancongan Malaysia yang berminat boleh melayari laman web rasmi di https://titf.uz/en/main.
Sementara itu, kedutaan berkenaan memaklumkan bahawa jumlah rakyat Malaysia yang melancong ke Uzbekistan meningkat hampir dua kali ganda kepada kira-kira 16,000 orang bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 berbanding 9,200 orang dalam tempoh sama pada 2025.
“Peningkatan ini mencerminkan minat yang semakin bertambah dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap Uzbekistan sebagai destinasi pelancongan yang menarik,” menurut kedutaan itu.
Kedutaan itu turut menjelaskan bahawa antara faktor utama yang mendorong peningkatan perjalanan pelancong antara kedua-dua negara ialah kesalinghubungan udara yang semakin baik.
Uzbekistan Airways dan Batik Air kini mengendalikan tujuh penerbangan terus seminggu bagi laluan Kuala Lumpur–Tashkent–Kuala Lumpur, sekali gus menyediakan pilihan perjalanan yang mudah kepada penumpang dari kedua-dua negara.
-- BERNAMA