Am 13/11/2026 12:41 PM

Lonjakan Penarafan IMD Perkukuh Hala Tuju Malaysia Ke Arah Negara AI 2030

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lonjakan Penarafan IMD Perkukuh Hala Tuju Malaysia Ke Arah Negara AI 2030
Kredit: Laman Facebook Gobind Singh Deo

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Lonjakan kedudukan Malaysia daripada tangga ke-34 kepada ke- 27 dalam Kedudukan Digital dan AI Dunia IMD 2026 mencerminkan kemajuan memberangsangkan negara dalam usaha memperkukuh transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pencapaian ini mencerminkan usaha kolektif kerajaan, industri, ahli akademik dan seluruh rakyat Malaysia dalam membudayakan teknologi digital serta memperkukuh keupayaan negara. 

“Ia turut membuktikan kesediaan negara kita yang semakin meningkat untuk bersaing dalam ekonomi digital dan AI global, seiring dengan usaha mengejar aspirasi menjadi sebuah negara AI yang inklusif dan mampan menjelang 2030. 

“Penarafan baharu ini juga memperkukuh keyakinan kita terhadap hala tuju strategik yang telah digariskan di bawah Pelan Tindakan Digital Malaysia 2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Seiring dengan persaingan global semakin sengit, Gobind berkata kerajaan memberi keutamaan kepada usaha memanfaatkan keupayaan Malaysia yang terus berkembang bagi membuka peluang ekonomi lebih luas, meningkatkan daya saing perusahaan tempatan serta memastikan manfaatnya dapat dirasai seluruh rakyat.

Sehubungan dengan itu, kerajaan akan memberi tumpuan kepada empat keutamaan iaitu usaha memaksimumkan nilai ekonomi daripada pelaburan infrastruktur digital dan AI negara serta mempercepat penerimagunaan digital dan AI yang bermakna merentasi seluruh sektor ekonomi.

Dua lagi keutamaan ialah memperkukuh keupayaan bakat dan inovasi Malaysia serta meningkatkan kepercayaan digital, tadbir urus dan penyelarasan kawal selia.

“Penarafan terbaharu IMD ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan digital negara. Namun, kita sedar bahawa usaha dan kerjasama berterusan amat penting bagi mengekalkan momentum sedia ada,” katanya.

Gobind berkata kerajaan akan membina kekuatan berasaskan pencapaian ini untuk merealisasikan aspirasi menjadi sebuah Negara AI yang inklusif dan mampan menjelang 2030.

“Sebuah negara yang bukan sahaja mengguna pakai teknologi, tetapi turut membangunkan keupayaan, inovasi dan perniagaan yang bakal mencorakkan ekonomi masa hadapan kita,” katanya.

-- BERNAMA