IPOH, 13 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas daun ketum dianggarkan bernilai RM48,000 dalam rondaan pencegahan jenayah di Bandariang dekat Gerik, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata suspek berumur 35 tahun itu ditahan ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex kira-kira 1.40 pagi.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut menemukan 120 bungkusan plastik hitam mengandungi bungkusan plastik lut sinar disyaki berisi daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 1,200 kilogram.
"Hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Samad berkata kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran yang terlibat.
-- BERNAMA