Am 13/11/2026 01:09 PM

Lelaki Maut Langgar Lembu Lintas Jalan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lelaki Maut Langgar Lembu Lintas Jalan
Kredit: IPD Taiping

IPOH, 13 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor lembu di Jalan Kuala Trong-Trong, Taiping, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP S. Saravanan berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian yang menimpa mangsa berusia 36 tahun itu kira-kira 1 pagi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis MDA Sporter S yang ditunggang mangsa melanggar haiwan ternakan terbabit yang dipercayai melintas dari arah kiri ke kanan jalan.

"Keadaan lokasi kejadian yang gelap serta tidak mempunyai kemudahan lampu jalan dipercayai menyukarkan pandangan pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Hospital Taiping dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA