Am 13/11/2026 01:43 PM

Lelaki Tetak Anggota Polis Disyaki Alami Gangguan Mental

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lelaki Tetak Anggota Polis Disyaki Alami Gangguan Mental
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar

SHAH ALAM, 13 Nov (Bernama) -- Lelaki warga asing yang menyerang anggota polis sehingga putus pergelangan tangan di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong, Rabu lepas disyaki mengalami gangguan mental, kata Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar.

“Berdasarkan laporan yang dibuat oleh salah seorang kenalan suspek, suspek dipercayai mempunyai gangguan mental dan mengamuk di premis kediaman...maka tindakan (seterusnya) polis, bomba dan KKM (Kementerian Kesihatan) pergi untuk melihat, menilai dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Media semalam melaporkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun parah selepas ditetak lelaki warga asing dalam kejadian kira-kira 7 petang itu.

Menurut laporan media, sebaik sahaja pintu premis kediaman itu dibuka, suspek tiba-tiba meluru keluar dengan membawa dua parang sebelum menyerang mangsa dan maut ditembak polis.

Beliau berkata pihaknya pada peringkat ini percaya keadaan mental si mati tidak stabil namun siasatan berhubung kejadian masih diteruskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) termasuk pemeriksaan di kediaman lelaki berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“...punca yang menyebabkan gangguan mental pada si mati itu masih sedang disiasat termasuk melalui rakan-rakannya,” katanya.

Mengulas dakwaan keadaan di lokasi kejadian menyukarkan anggota polis mengelak serangan, beliau menjelaskan bahawa keadaan ruang sempit dan kehadiran beberapa agensi lain menjadi cabaran ketika operasi dilakukan.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan menjadi panduan namun keputusan tindakan ketika berdepan situasi genting bergantung pada penilaian anggota polis tersebut...mungkin dalam usaha mempertahankan diri, anggota itu terkena tetakan pada pergelangan tangan kanannya,” katanya.

Shazeli berkata proses bedah siasat mayat suspek akan dijalankan pagi ini manakala mangsa yang cedera dilaporkan stabil selepas selesai menjalani pembedahan sambung tangan di hospital semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata lebih 20 saksi terdiri daripada jiran, penghuni dan kenalan si mati telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, tiada tangkapan suspek lain dilakukan dan si mati tinggal di kediaman itu bersama penyewa warga tempatan dan polis juga akan merakam keterangan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya.

-- BERNAMA