Am 13/11/2026 12:28 PM

Demi Keluarga, Kak Za Pasar Tidak Kenal Erti Malu, Angkat Barang Di Pasar Borong

Oleh Balkish Awang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Demi Keluarga, Kak Za Pasar Tidak  Kenal Erti Malu, Angkat Barang Di Pasar Borong
.--fotoBERNAMA

Tidak ada istilah malu bagi wanita ini ketika melontarkan suaranya kepada mereka yang lalu-lalang di depan mata, demi mencari rezeki untuk menanggung keluarga.

“Assalamualaikum kak. Za ada buat servis angkat barang dengan ‘personal shopper’. Ada apa-apa  yang boleh Za tolong?”

"Assalamualaikum adik. Kak Za ada buat servis angkat barang dan ‘personal shopper’."

“Bang, okey ke? Nak saya tolong angkat ke? Saya ada buat servis angkat barang, Pikul Pro.”

Tidak putus-putus Mahaniza Mohamad, 44, menawarkan perkhidmatannya mengangkat barang kepada pengunjung di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dekat sini. Ada yang sekadar tersenyum dan menggelengkan kepala menolak tawaran, dan ada juga yang memberikan pandangan pelik kepadanya sebelum berlalu. 

“Bila kita tanya orang, begitulah. Ada yang geleng kepala, ada yang berlalu begitu sahaja tanpa menoleh sedikit pun. Beginilah setiap hari. Tidak mengapa, mungkin belum ada rezeki saya,” ujarnya perlahan ketika ditemui penulis di pasar itu baru-baru ini.

Pada hari berkenaan, walaupun telah berada di pasar selama lima jam sejak 7 pagi, Mahaniza langsung tidak mendapat pelanggan.

“Tak ada rezeki hari ini. Nak masak apa ya di rumah? Semalam dah berlauk telur,” bisik ibu kepada dua anak remaja yang masih bersekolah ini; masing-masing perempuan berusia 16 dan lelaki, 12 tahun.

Dia melangkah longlai ke dalam pasar bagi membeli sedikit sayur untuk dimasak sebagai hidangan tengah hari keluarga.

 

BERKORBAN DEMI SUAMI

 

Bercerita rutin hariannya dengan Bernama, Mahaniza berkata dia akan ke pasar yang terletak cuma beberapa minit menaiki motosikal dari rumah selepas menguruskan suaminya Muhammad Farhan Sedik, 43, serta kelengkapan anak untuk ke sekolah.

“Suami tidak dapat bergerak selepas mengalami strok yang menjejaskan sarafnya dan kencing manis kronik sejak tiga tahun lalu. Sebelum dia terlantar, suami bekerja sebagai pengurus jualan dan pemasaran di sebuah restoran. Saya juga bekerja di situ sebagai pegawai jualan dan pemasaran,” ujarnya.

Menurut wanita bertubuh sederhana ini, dia selalunya tiba di pasar itu seawal 7 pagi dan menawarkan khidmat mengangkat barang yang dibeli pelanggan ke kenderaan mereka.

“Selain itu, saya juga jadi ‘personal shopper’ untuk mereka yang tidak sempat ke pasar,” tambahnya yang memulakan perniagaan tersebut pada 2023.

Menurut Mahaniza, idea menawarkan perkhidmatan itu yang dijenamakan sebagai “Pikul Pro”, datang daripada suaminya.

"Semasa saya masih bekerja dahulu, saya akan pulang sebentar ke rumah untuk menguruskan suami seperti memandikan, menyediakan makanan dan membantunya membuang air besar kerana suami tidak boleh bergerak sendiri dan perlu diangkat.

“Masa itu majikan sangat memahami keadaan saya dan memberikan kelonggaran untuk pulang ke rumah. Cuma, yang tidak seronoknya ada pekerja lain yang mempertikaikan kenapa saya asyik pulang ke rumah, tinggalkan tempat kerja. Lepas itu suami kata tidak mengapalah dan minta saya berhenti kerja," katanya. 

Menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga emas dan Orang Kurang Upaya, Mahaniza bagaimanapun tidak menetapkan kadar upah tetapi menyerahkan kepada keikhlasan  pelanggan.

“Ada yang beri RM2, ada RM5 dan ada yang beri RM10. Kalau ‘personal shopper’ pula,  mereka berikan saya senarai barang yang hendak dibeli, dan apabila tiba di pasar saya akan ambil gambar barangan berserta harga dan hantar kepada pelanggan.

“Selepas mereka bersetuju, mereka bayar terus gunakan kod QR peniaga yang saya hantar kepada mereka. Saya tidak akan pegang duit pelanggan. Pendekatan ini lebih mudah. Pelanggan pun tidak ragu-ragu,” katanya.

Berhubung caj pula, Mahaniza berkata dia tidak menetapkan kadar upah kecuali kos penghantaran, iaitu antara RM15 hingga RM30 bergantung pada jarak perjalanan dari pasar borong ke rumah pelanggan.

Menurut wanita ini, dia lazimnya berada di pasar borong itu setiap hari dari 7 pagi hingga 11 pagi pada hari biasa dan hingga 12 tengah hari pada hujung minggu.

 

PERSEPSI MASYARAKAT

 

Dalam mencari rezeki sebagai pengangkat barang, Mahaniza tidak terlepas daripada berdepan pelbagai tanggapan dan persepsi masyarakat terhadap pekerjaan yang biasanya dilakukan oleh lelaki itu. Apatah lagi tubuhnya juga tidak sebesar mana.

“Dulu, ada yang bertanya apa yang saya buat apabila melihat saya melaungkan tawaran khidmat mengangkat barang di pasar. Mereka pelik kerana saya wanita. Padahal saya pernah mengangkat ayam sebanyak 50 ekor untuk dihantar ke rumah pelanggan,” kongsinya.

Dia mengangkat barang menggunakan kudrat semata-mata; tidak ada troli, cuma beberapa buah beg untuk mengisi barangan pelanggan yang akan dijinjing atau digalas ke kenderaan.

Bagaimanapun, kata wanita itu, penerimaan masyarakat mula berubah selepas rakaman video pertemuannya dengan pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi dan penyanyi Haiza tular.

“Pak Nil (Aznil) dan Haiza ada program di pasar bersempena dengan bulan Ramadan ketika itu. Pak Nil nampak saya dan datang menegur. Selepas tahu kisah saya dan keluarga, beliau hulurkan bantuan termasuk belikan peti ais,” katanya, menambah susulan tular itu dia menerima pelbagai sumbangan sementara daripada masyarakat yang prihatin. 

Mengakui bukan mudah mendapatkan pelanggan setiap hari, Mahaniza berkata dia tidak meletakkan harapan tinggi apabila bekerja. Malah, bukan sekali dua dia langsung tidak mendapat pelanggan sepanjang minggu.  

“Seperti yang orang lihat, saya akan memanggil pelanggan dan menawarkan bantuan. Kalau tiada yang menyahut, tidak mengapa. Saya fikir mungkin belum ada rezeki hari ini. Mungkin esok atau lusa (akan) ada,” katanya yang memperoleh pendapatan sekitar RM800 hingga RM900 sebulan.

Menurut Mahaniza, antara pelanggan yang kerap mendapatkan khidmatnya ialah golongan lelaki yang kurang mahir membeli barangan dapur, khususnya ketika isteri mereka sedang berpantang selepas bersalin.

Pada masa sama, dia menzahirkan kesyukuran kerana menerima bantuan zakat sebanyak RM400 sebulan selain bantuan sewa rumah, sekali gus meringankan bebannya. Suaminya juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan.

“Ramai yang bertanya sudah dapat bantuan mengapa tidak cukup lagi? Kita tidak boleh bergantung pada bantuan sahaja.  Saya tetap kena cari duit sendiri. Kalau ada hari yang saya tidak memperoleh pendapatan, duit bantuan itulah yang dapat membantu menampung kehidupan,” ujarnya.

Ditanya mengapa dia tidak mencari pekerjaan tetap, Mahaniza berkata keadaan kesihatan suami tidak mengizinkan untuknya berbuat demikian.

“Pernah satu hari saya telefon suami berkali-kali tetapi panggilan saya tidak berjawab. Apabila pulang ke rumah, saya dapati dia sudah terjatuh dari katil.

“Rupanya dia mahu ke tandas. Dia hendak hubungi saya tapi tidak dapat kerana telefon bimbit terletak jauh dari capaian tangannya. Dia tidak boleh bergerak, jadi itulah puncanya dia terjatuh dari katil,” ceritanya.

 

HARAPAN DAN IMPIAN

 

Merenung masa depan, Mahaniza berharap suaminya yang kini menerima rawatan berkala di Hospital Putrajaya, akan pulih dan mampu berjalan seperti dahulu.

“Dia tiba-tiba rebah dan kedua-dua kakinya menjadi lemah sehingga tidak mampu menampung berat tubuh. Doktor maklumkan dia mengalami strok yang agak teruk sehingga menjejaskan fungsi saraf dan otot dari pinggang ke bawah.

"Apabila dia berdiri, kita nampak dia berdiri, tetapi dia sendiri tidak dapat merasai keadaan itu. Jadi, saya perlu sentiasa memegangnya kerana, kalau tidak, dia akan jatuh," katanya. 

Selain itu, suaminya juga berdepan kesukaran untuk makan kerana genggaman tangan kian lemah sehinggakan tidak lagi mampu memegang sudu.

“Jadi, keutamaan saya sekarang adalah memastikan suami saya mendapat rawatan terbaik dan pulih,” katanya.

Dari segi Pikul Pro pula, Mahaniza menyimpan impian untuk meluaskan khidmatnya dan tidak hanya tertumpu di Pasar Borong Selangor.

“Kalau ada modal, saya nak kembangkan khidmat saya agar pendapatan lebih stabil,” katanya yang turut berkongsi kisahnya menerusi  platform TikTok @kakzapasar.

Bagaimanapun, buat masa ini, harapan Mahaniza cuma hendak membawa pulang pendapatan harian bagi menampung perbelanjaan keluarga pada hari itu.

"Esok dan hari-hari seterusnya kita berserah pada Allah," bisiknya.