Dunia 13/11/2026 11:49 AM

Slovakia, Slovenia, Cyprus Bakal Sertai Perjanjian Persahabatan Dan Kerjasama ASEAN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Slovakia, Slovenia, Cyprus Bakal Sertai Perjanjian Persahabatan Dan Kerjasama ASEAN
Kredit: PNA

MANILA, 13 Nov (Bernama-PNA) -- Slovakia, Slovenia dan Cyprus dijadual menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) pada Sabtu, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Menteri luar dan pengangkutan ketiga-tiga negara itu akan menandatangani perjanjian berkenaan semasa mesyuarat peringkat menteri ASEAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC).

Selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa Lazaro di Pasay City pada Khamis, Menteri Luar Slovakia Juraj Blanár berkata negaranya berhasrat meningkatkan kehadiran dan penglibatan di rantau ini selepas menyertai TAC.

"Slovakia akan menjadi sebahagian daripada negara yang menyertai TAC ASEAN.

“Ini satu keistimewaan dan penghormatan bagi kami. Kita berkongsi nilai bersama dan antara aspek terpenting kerjasama ini adalah untuk mengekalkan keamanan serta ketertiban berasaskan peraturan," kata beliau.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Filipina selaku Pengerusi ASEAN tahun ini atas sokongan terhadap penyertaan Slovakia dalam perjanjian berkenaan.

Blanár menyifatkan kerjasama masa depan Slovakia dengan ASEAN sebagai strategik memandangkan rantau itu merupakan pasaran penting bagi Kesatuan Eropah (EU) selain menempatkan beberapa negara ekonomi sedang pesat membangun di dunia.

"Setahu saya, negara EU merupakan antara rakan dagang terpenting negara ASEAN selepas negara di rantau ini sendiri dan Amerika Syarikat (AS). Justeru, perkara ini benar-benar mempunyai kepentingan strategik bagi Slovakia sebagai anggota EU," katanya.

TAC yang ditandatangani pada Februari 1976 ketika Sidang Kemuncak ASEAN pertama oleh lima negara pengasas iaitu Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand, menjadi perjanjian asas keamanan dan keselamatan di rantau ini.

Penyertaan dalam TAC mencerminkan komitmen sesebuah negara terhadap prinsip ASEAN yang menekankan kewujudan bersama secara aman dan kerjasama erat antara negara di rantau ini.

Instrumen Penyertaan kepada TAC dijadual ditandatangani pada Sabtu oleh Blanár, Menteri Luar dan Hal Ehwal Eropah Slovenia Tone Kajzer serta Menteri Pengangkutan, Komunikasi dan Kerja Raya Cyprus Evi Tsolaki.

-- BERNAMA-PNA