Dunia 13/11/2026 11:45 AM

Sidang Kemuncak ASEAN: Filipina Buka Pusat Media Antarabangsa

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sidang Kemuncak ASEAN: Filipina Buka Pusat Media Antarabangsa
(AP Photo/Aaron Favila)

MANILA, 13 Nov (Bernama-PNA) -- Filipina secara rasmi membuka Pusat Media Antarabangsa (IMC) pada Jumaat, menyediakan kemudahan khusus kepada wartawan tempatan dan asing bagi membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Terletak di World Trade Centre Metro Manila di Pasay City, IMC akan berfungsi sebagai pusat operasi media sepanjang perhimpunan serantau yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 17 Nov.

Pemangku Setiausaha Pejabat Komunikasi Presiden (PCO) Lino Cayetano mengetuai majlis pembukaan IMC bersama-sama Setiausaha Pelancongan Dita Angara-Mathay dan Ketua Pengarah Majlis Penganjur Kebangsaan ASEAN 2026 Hellen de la Vega.

Ketika berucap pada majlis pembukaan itu, Cayetano berkata kemudahan berkenaan direka untuk membantu wartawan menjalankan tugas dengan cekap dan selesa, selain memberi mereka gambaran mengenai budaya, industri dan masyarakat Filipina.

“Tempat ini dibina untuk anda. Tempat ini dibina supaya anda dapat menjalankan tugas dengan baik dan selesa,” kata Cayetano.

“Kepada tetamu kami, baik wartawan Filipina mahupun asing, kami semua di PCO dan kerajaan berada di sini untuk berkhidmat serta membantu anda menjalankan tugas. Bersama-sama, marilah kita jelaskan mengapa pemimpin kita duduk semeja untuk berbincang,” tambah beliau.

Kemudahan itu dilengkapi ruang untuk taklimat media, penghantaran berita dan operasi penyiaran bagi menyokong wartawan yang membuat liputan mesyuarat peringkat tinggi berkenaan.

IMC turut menampilkan “Pavilion Pengalaman” yang mempamerkan budaya, ketukangan dan produk tempatan Filipina, termasuk kopi serta makanan istimewa dari Luzon, Visayas dan Mindanao.

Angara-Mathay berkata penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN oleh Filipina melangkaui usaha memudah cara perbincangan diplomatik, malah turut membuka peluang untuk mengetengahkan budaya, warisan, destinasi pelancongan dan produk tempatan negara itu.

Beliau turut mengetengahkan Pavilion Pengalaman di IMC dan mengundang delegasi media asing untuk merasai layanan mesra rakyat Filipina, mencuba hidangan tempatan serta meneroka destinasi pelancongan dan produk keluaran tempatan negara itu.

“Bagi Jabatan Pelancongan, ini bermakna menjadikan pengalaman mengenali keunikan Filipina sebagai sebahagian daripada sidang kemuncak itu sendiri, dan kami turut menerapkan pendekatan berkenaan di Pusat Media Antarabangsa ini,” katanya.

Sementara itu, De la Vega menekankan kepentingan IMC dalam memastikan liputan media yang berkesan sepanjang perhimpunan serantau berkenaan.

Beliau berkata kemudahan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyediakan ruang kerja, teknologi, kesalinghubungan dan perkhidmatan sokongan yang diperlukan oleh wartawan.

“Saya berharap rakan media kami akan memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan yang ditawarkan oleh Pusat Media Antarabangsa ini,” kata De la Vega.

Beliau menyifatkan wartawan sebagai sebahagian daripada pihak yang memainkan peranan penting dalam Kepengerusian ASEAN oleh Filipina, sambil menekankan peranan mereka sebagai rakan kerjasama dalam menyampaikan maklumat mengenai kerjasama serantau menerusi laporan berita yang mudah difahami oleh orang ramai.

“Pusat ini merupakan usaha kami untuk memastikan rakan media mempunyai kemudahan yang diperlukan bagi menyampaikan berita dengan tepat, pantas dan berkesan,” katanya.

Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang menghimpunkan pemimpin negara anggota ASEAN serta rakan dialog mereka bagi membincangkan kerjasama serantau dan keutamaan bersama.

Perhimpunan itu akan menjadi acara kemuncak Kepengerusian ASEAN oleh Filipina sepanjang tahun ini.

-- BERNAMA-PNA