KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Penegasan kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta perkembangan positif usaha mengurangkan defisit fiskal dan pinjaman baharu negara antara tumpuan minggu keenam persidangan Dewan Rakyat.
Persidangan minggu ini turut menyaksikan peruntukan bagi empat lagi kementerian diluluskan pada peringkat jawatankuasa selepas Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 selesai dibahas dan digulung sebelum mendapat sokongan majoriti menerusi undian suara.
Kementerian terbabit ialah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Dalam Negeri.
Persidangan selama dua hari susulan cuti Deepavali pada Isnin dan Selasa, turut menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Khamis bagi menjawab isu kedudukan hutang negara, pengurusan fiskal serta hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-Taiwan.
Anwar menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula GST dan keputusan itu bukan didorong pertimbangan politik, sebaliknya bagi mengelakkan beban tambahan kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Menyentuh kedudukan fiskal negara, Anwar memaklumkan defisit fiskal berjaya dikurangkan daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 3.7 peratus pada 2025 dan diunjurkan terus menyusut kepada 3.3 peratus pada 2027, membolehkan pinjaman baharu kerajaan dikurangkan daripada RM100 bilion pada 2021 kepada RM75.6 bilion pada 2025.
Beliau berkata pinjaman baharu di bawah Kerajaan MADANI digunakan untuk membiayai pembangunan negara termasuk sekolah, hospital, jalan raya serta bekalan air dan elektrik.
“Kita juga terpaksa memenuhi tanggungan kewangan yang diwarisi. Pada 2023 sahaja, sebanyak RM13 bilion diperlukan untuk melunaskan bon 1MDB,” kata beliau.
Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut diberikan penjelasan berhubung Dasar Satu China yang menjadi pendirian rasmi negara sejak 1974 walaupun pendirian itu mungkin menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pihak tertentu di Taiwan.
Perdana Menteri berkata Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat tidak akan mengorbankan prinsip dasar luarnya demi kepentingan perdagangan, namun akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan hubungan ekonomi dan pelaburan dengan Taiwan terus terpelihara.
Sementara itu, isu pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mendapat perhatian, apabila Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memperincikan pelbagai syarat dan sekatan ketat sepanjang tempoh tahanan itu hingga 23 Ogos 2028, termasuk larangan keluar dari premis yang diwartakan serta menyertai aktiviti politik atau liputan media.
Beliau berkata sekatan itu merangkumi empat syarat utama ditetapkan Lembaga Pengampunan, iaitu sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan dan lawatan, sekatan penggunaan telefon serta alat telekomunikasi selain kewajipan mengikuti program pemulihan dan intervensi, selain syarat kawalan tambahan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Dewan Rakyat turut dimaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kini berupaya mengeluarkan amaran awal banjir hingga satu jam sebelum kejadian berbanding lima minit sebelum ini, susulan peningkatan keupayaan Pusat Kawalan Kuala Lumpur.
Selain itu, sebanyak 1,322 peserta atau 65 peratus daripada keseluruhan 2,034 peserta Program Inisiatif Pendapatan Rakyat-Usahawan Tani (IPR-INTAN) berjaya mencapai pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM2,000 setakat 31 Ogos, mencerminkan keberkesanan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.
Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa dijadualkan berlangsung hingga 26 Nov dengan 16 kementerian lagi akan menyelesaikan sesi penggulungan masing-masing.
Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15 diadakan selama 37 hari hingga 8 Dis.
-- BERNAMA