Dunia 13/11/2026 10:36 AM

53 Negara, organisasi Gesa Bantuan Kemanusiaan Disalurkan Ke Gaza Tanpa Halangan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
53 Negara, organisasi Gesa Bantuan Kemanusiaan Disalurkan Ke Gaza Tanpa Halangan
Kredit: WAFA

NEW YORK, 13 Nov (Bernama-WAFA) -- Sebanyak 53 negara dan organisasi menggesa kerajaan Israel membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan segera dan tanpa halangan ke seluruh Semenanjung Gaza melalui semua lintasan sempadan dan laluan darat yang tersedia, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Dalam kenyataan bersama yang disampaikan oleh Wakil Tetap Britain ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada sidang media di luar Majlis Keselamatan PBB pada Khamis, negara-negara berkenaan menggesa Israel membenarkan kemasukan bekalan keperluan asas tambahan, termasuk barangan yang diklasifikasikan sebagai dwiguna, khususnya yang diperlukan untuk tempat perlindungan, bahan api, air, sanitasi dan penjagaan kesihatan bagi mengelakkan keadaan kemanusiaan dan kesihatan terus merosot.

Mereka turut menggesa Israel membenarkan pesakit dan rakyat Palestin yang cedera di Gaza yang tidak dapat menerima rawatan sewajarnya di wilayah itu, mendapatkan rawatan di hospital di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, selain menggesa pembukaan semula lintasan sempadan ke Gaza.

Kenyataan itu menekankan keperluan melindungi petugas kesihatan, kemudahan perubatan dan pengangkutan perubatan selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia turut menggesa perlindungan diberikan kepada semua kemudahan dan petugas kemanusiaan, orang awam serta infrastruktur kemanusiaan dan awam.

Kesemua 53 pihak yang menandatangani kenyataan itu turut menuntut siasatan yang telus dan segera terhadap serangan Israel yang menyasarkan petugas kesihatan dan kemanusiaan, selain menggesa supaya delegasi antarabangsa peringkat tinggi dan wartawan dibenarkan memasuki Gaza.

Kenyataan itu memberi amaran bahawa walaupun terdapat kemungkinan keadaan kemanusiaan bertambah baik susulan gencatan senjata, sebilangan besar rakyat Palestin di Gaza masih tidak mempunyai tempat perlindungan yang mencukupi menjelang musim sejuk, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko hipotermia, jangkitan pernafasan, penyakit bawaan air dan penyakit lain yang boleh dicegah.

Negara-negara berkenaan menegaskan bahawa sekatan terhadap kemasukan bahan penting untuk pembinaan tempat perlindungan dan bekalan lain yang diperlukan bagi menyelamatkan nyawa terus menghalang organisasi kemanusiaan daripada menyalurkan bantuan pada skala yang diperlukan.

Kesemua 53 pihak yang menandatangani kenyataan itu menegaskan semula komitmen mereka untuk menyokong usaha kemanusiaan di Gaza, termasuk langkah persediaan segera menghadapi musim sejuk menerusi penyediaan tempat perlindungan, air, bekalan sanitasi dan bantuan perubatan bagi meringankan penderitaan serta mengurangkan risiko kesihatan awam.

Mereka turut berikrar menyokong Pihak Berkuasa Palestin, dengan kerjasama PBB dan rakan kemanusiaan yang lain, dalam usaha memulihkan perkhidmatan penjagaan kesihatan penting serta membaik pulih infrastruktur kesihatan di Gaza.

-- BERNAMA-WAFA