IPOH, 11 Nov (Bernama) -- Seorang wanita lemas manakala tiga lagi selamat selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Jalong Tinggi, Kampung Landap Kerbau dekat Sungai Siput, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata wanita berusia 37 tahun ditemukan di tebing seberang sungai yang berarus deras dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.
"Wanita itu telah diberikan bantuan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan menggunakan teknik resusitasi kardiopulmonari (CPR).
"Dia kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata tiga mangsa yang diselamatkan orang awam ialah seorang lelaki berusia 27 tahun serta dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.
Sabarodzi berkata sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput digegaskan ke lokasi kejadian sejauh 19 kilometer selepas menerima panggilan pada 5.41 petang.
-- BERNAMA