Am 11/11/2026 04:26 PM

SPRM Johor Perhebat Pendidikan Integriti, Pencegahan Rasuah Menjelang 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SPRM Johor Perhebat Pendidikan Integriti, Pencegahan Rasuah Menjelang 2027
Timbalan Pengarah SPRM Johor Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid Foto kredit : SPRM

JOHOR BAHRU, 11 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor akan memperhebat usaha pendidikan integriti dan pencegahan rasuah pada 2027, dengan memberi tumpuan kepada generasi muda, penjawat awam serta kerjasama strategik pelbagai pihak.

Timbalan Pengarah SPRM Johor Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid berkata pendekatan itu, bertujuan memperluas kesedaran antirasuah dan membudayakan integriti, sebagai langkah pencegahan awal bagi membendung gejala rasuah dalam masyarakat.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif berkenaan akan berpandukan lima teras kepimpinan yang digariskan Ketua Pesuruhjaya SPRM, merangkumi integriti tanpa kompromi, penguatkuasaan adil dan saksama, pencegahan proaktif, teknologi dan ketelusan serta kepercayaan rakyat.

“Antara penekanan utama ialah menjadikan integriti sebagai budaya kerja, mengenal pasti dan menutup ruang serta risiko rasuah lebih awal, selain memanfaatkan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan analitik data bagi meningkatkan kecekapan operasi serta akauntabiliti,” katanya kepada Bernama.

Sheikh Hamadi berkata SPRM Johor juga akan memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan komuniti setempat bagi memastikan program pendidikan antirasuah dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Beliau berkata penetapan sasaran yang jelas dan boleh diukur, termasuk jumlah program, kumpulan sasaran, tahap peningkatan kesedaran serta impak pelaksanaan, turut diberi perhatian dalam merangka inisiatif pencegahan pada tahun depan.

“Keberkesanan usaha pencegahan rasuah bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan, sebaliknya turut mengambil kira perubahan sikap, tahap pematuhan terhadap peraturan serta kesediaan masyarakat untuk tampil melaporkan perlakuan rasuah,” katanya.

Mengulas pencapaian tahun ini, Sheikh Hamadi berkata Unit Pendidikan Masyarakat (PENMAS) SPRM Johor telah melaksanakan 67 aktiviti pendidikan dan kesedaran antirasuah, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi 36 ceramah, 27 program, tiga lawatan dan satu pameran dengan tumpuan kepada penjawat awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun, institusi pendidikan serta generasi muda.

Beliau berkata pelaksanaan program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan SPRM Johor dalam memperkukuh pendekatan pencegahan menerusi pendidikan dan penerapan nilai integriti, selain tindakan penguatkuasaan.

-- BERNAMA