KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,180 sekolah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Sabah dan Sarawak masih belum menikmati kemudahan internet gentian optik, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata jumlah itu mewakili 22 peratus daripada keseluruhan 5,362 sekolah di enam negeri berkenaan, manakala baki 4,182 sekolah atau 78 peratus telah menikmati capaian internet gentian optik berkelajuan antara 300 hingga 800 megabit sesaat (Mbps).
Beliau berkata sekolah yang belum dilengkapi teknologi berkenaan bagaimanapun masih dibekalkan perkhidmatan internet menerusi teknologi jalur lebar tanpa wayar dan satelit.
“Daripada jumlah tersebut, Sarawak mencatatkan 759 sekolah atau 52 peratus yang belum beralih kepada teknologi gentian optik berikutan faktor keluasan geografi dan cabaran logistik di kawasan pedalaman,” katanya pada sesi soal jawab.
Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai bilangan dan peratus sekolah di enam negeri berkenaan yang masih belum mencapai piawaian Kementerian Pendidikan (KPM) bagi kelajuan dan kestabilan internet serta garis masa kesiapsiagaan pendidikan digital dan kecerdasan buatan (AI).
Mengikut pecahan negeri, Pahang mencatatkan 181 sekolah (24 peratus) yang belum menggunakan teknologi gentian optik, Sabah 177 sekolah (14 peratus), Kelantan 45 sekolah (lapan peratus), Kedah 14 sekolah (dua peratus) dan Terengganu empat sekolah (satu peratus).
Dalam pada itu, mengenai kesiapsiagaan pendidikan digital dan AI, Wong berkata KPM melaksanakan perancangan strategik secara berfasa menerusi Dasar Pendidikan Digital dan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Beliau berkata bagi fasa jangka pendek 2026 hingga 2027, KPM memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem pembelajaran digital berteraskan AI, termasuk pembangunan platform DELIMa 3.0 dan pelaksanaan rintis AI-Powered Classroom di 27 sekolah terpilih.
“Bagi fasa sederhana 2028 hingga 2030, pelaksanaan AI-Powered Classroom akan diperluas secara berperingkat berdasarkan tahap kesiapsiagaan institusi pendidikan, merangkumi penyediaan peranti, internet stabil, liputan Wi-Fi serta peningkatan kompetensi digital guru.
“Sementara itu, bagi fasa jangka panjang 2031 hingga 2035, KPM menyasarkan pelaksanaan pembelajaran diperibadikan berasaskan AI secara menyeluruh, disokong penggunaan DELIMa 3.0 serta rangkaian Local Area Network (LAN) dan Wide Area Network (WAN),” katanya.
Menjawab soalan tambahan Nurul Amin mengenai langkah menangani penyalahgunaan AI, termasuk manipulasi imej murid dan guru bagi menghasilkan kandungan mengaibkan, Wong berkata KPM telah memuktamadkan Garis Panduan Literasi AI yang menetapkan peranan pihak sekolah, guru, murid dan ibu bapa.
Beliau berkata garis panduan itu merangkumi empat domain utama iaitu tadbir urus AI, pengajaran dan pembelajaran, pembelajaran sepanjang hayat serta etika AI.
-- BERNAMA