Dunia 11/11/2026 02:40 PM

Vietnam, Malaysia Berpotensi Perluas Kerjasama Dalam Industri Robotik

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Vietnam, Malaysia Berpotensi Perluas Kerjasama Dalam Industri Robotik

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama-VNA) -- Vietnam dan Malaysia memiliki potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam industri robotik, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik pakar daripada Malaysia.

Samirul Ariff Othman, seorang penganalisis dasar, ekonomi dan perniagaan di Global Asia Consulting berkata ia boleh dilakukan dengan menggabungkan keupayaan pembuatan yang saling melengkapi bagi membangunkan produk bernilai lebih tinggi serta mengukuhkan kedudukan kedua-dua negara dalam rantaian nilai global.

Menurut pensyarah pelawat Universiti Teknologi PETRONAS itu, peluang komersial jangka pendek terbesar bagi ASEAN dalam bidang robotik industri terletak pada pembuatan khusus, integrasi sistem dan aplikasi praktikal.

Dalam temu bual bersama wartawan VNA di Malaysia, beliau berkata integrasi rantau ini ke dalam rangkaian pengeluaran global telah memberikan pemahaman kukuh kepada syarikat serantau mengenai keperluan kilang dan pelanggan industri.

“Negara anggota ASEAN memiliki kekuatan yang saling melengkapi, Malaysia mempunyai keupayaan dalam pembuatan semikonduktor, ujian automatik, kejuruteraan jitu dan elektronik industri, manakala Singapura menumpukan pada penyelidikan termaju, perisian dan kejuruteraan bernilai tinggi. Vietnam pula mempunyai asas pembuatan elektronik yang berkembang pesat sementara Thailand mempunyai ekosistem automotif dan industri yang mantap.

“Pertumbuhan syarikat automasi Malaysia seperti ViTrox, Pentamaster, Greatech dan Genetec menunjukkan keupayaan rantau ini untuk membekalkan sistem teknologi yang kompleks,” katanya.

Samirul mengenal pasti peluang merentasi empat lapisan rantaian nilai robotik iaitu perkakasan, cip mikro, penderia dan perisian kawalan.

Beliau berkata syarikat di ASEAN mampu menghasilkan komponen berketepatan tinggi dan peralatan khusus, beralih daripada aktiviti pembungkusan, pemasangan dan pengujian semikonduktor kepada reka bentuk cip, serta menyepadukan teknologi pengukuran dan penglihatan mesin ke dalam sistem penderia yang boleh dipercayai.

Nilai yang lebih besar boleh dijana dalam sektor perisian melalui aplikasi untuk kawalan robot, pemeriksaan kualiti dan pengurusan kumpulan mesin atau peralatan, katanya.

“Walaupun Amerika Syarikat (AS) mempunyai kelebihan dalam kecerdasan buatan (AI) termaju, platform perisian dan reka bentuk semikonduktor, manakala China mendapat manfaat daripada pembuatan berskala besar serta rantaian bekalan komponen yang menyeluruh, ASEAN boleh mengukuhkan kedudukannya dengan menyesuaikan teknologi kepada industri dan keadaan operasi tertentu,” kata Samirul.

Cabaran utama, menurut beliau, adalah untuk membantu perniagaan tempatan membangunkan harta intelek mereka sendiri serta mengekalkan hubungan langsung dengan pelanggan dan bukannya kekal sebagai pengilang kontrak bernilai rendah.

Bagi merealisasikan potensi ini, Samirul mencadangkan empat bidang keutamaan untuk kerjasama antara Vietnam dan Malaysia.

Pertama, syarikat daripada kedua-dua negara perlu menerajui projek penyelidikan dan ujian lapangan bersama dalam bidang seperti pemeriksaan komponen elektronik, pengangkutan di gudang, pemantauan pertanian serta logistik perubatan.

Projek-projek itu harus melibatkan pelanggan di kedua-dua pasaran, di samping menetapkan piawaian prestasi yang boleh diukur serta hala tuju yang jelas ke arah pesanan komersial berulang.

Kedua, syarikat, universiti dan institut penyelidikan mesti bekerjasama untuk membangunkan serta mengkomersialkan produk dengan menggabungkan kepakaran dalam komponen berketepatan tinggi, elektronik, perisian dan integrasi sistem.

Perjanjian kerjasama perlu menyatakan dengan jelas mengenai pemilikan teknologi sedia ada, penambahbaikan yang dibangunkan secara bersama, serta akses kepada data operasi.

Ketiga, kedua-dua negara harus mewujudkan program latihan robotik bersama, termasuk pertukaran jurutera, latihan industri dan latihan praktikal bagi membangunkan tenaga kerja mahir.

Keempat, mereka perlu menghubungkan kemudahan ujian dan tapak perindustrian sedia ada untuk membentuk rangkaian dua hala bagi tujuan percubaan produk.

Beliau berkata menjalankan ujian dalam kedua-dua pasaran akan membantu syarikat mengenal pasti kelemahan, menilai daya maju komersial, serta membuat persediaan untuk menembusi pasaran ASEAN yang lebih luas.

“Kerjasama ini juga wajar merangkumi aspek piawaian keselamatan, keselamatan siber dan keserasian teknikal manakala model pajakan peralatan serta konsep 'robot sebagai perkhidmatan' (RaaS) boleh membantu pelanggan berskala lebih kecil mengurangkan kos pelaburan awal,” katanya.

Beliau menekankan bahawa matlamat utama seharusnya tertumpu pada pembangunan produk secara bersama, pengesahan produk dalam kedua-dua pasaran, serta peluasan pengkomersialan di seluruh ASEAN.

Langkah berkenaan akan membolehkan rantau ini memperoleh bahagian yang lebih besar daripada nilai yang dijana oleh revolusi teknologi pintar.

-- BERNAMA-VNA