SHAH ALAM, 11 Nov (Bernama) -- Belanjawan Selangor 2027 akan memberi tumpuan kepada pengukuhan sistem sokongan pendidikan serta peningkatan penglibatan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata sektor pendidikan kekal sebagai agenda penting pembangunan negeri, dengan pelaburan dinilai berdasarkan impak kepada pelajar, guru, institusi dan masyarakat.
"Antara keutamaan belanjawan pendidikan negeri yang akan diumumkan Jumaat ini ialah memperkukuh akses dan peluang pendidikan, memperkasakan institusi pendidikan serta meningkatkan kompetensi guru, kemudahan dan kualiti penyampaian pendidikan," katanya selepas melancarkan Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Datuk Johary Anuar.
Amirudin berkata kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pengukuhan pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi menerusi kerjasama strategik antara institusi akademik dengan industri.
Beliau berkata pembangunan modal insan secara holistik juga menjadi keutamaan, meliputi keseimbangan pencapaian akademik, kemahiran, sahsiah dan nilai kemanusiaan, selaras dengan misi keempat Rancangan Selangor Kedua (RS-2), iaitu Modal Insan Yang Produktif dan Inklusif.
Katanya, usaha memperkasakan TVET dan STEM turut diberi perhatian bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir serta memupuk budaya inovasi dalam kalangan pelajar sejak awal persekolahan.
"Persepsi bahawa TVET merupakan pilihan kedua dalam pendidikan perlu diubah kerana bidang itu menawarkan laluan pendidikan dan kerjaya bernilai ekonomi tinggi serta berperanan penting memenuhi keperluan tenaga kerja mahir negara.
"Penguasaan STEM pula perlu dipupuk sejak awal persekolahan supaya pelajar bukan sahaja mengenali sains dan teknologi, malah berani meneroka, mencipta dan menghasilkan penyelesaian kepada permasalahan," katanya.
Sementara itu, Johary berkata SES 2026 yang berlangsung selama empat hari hingga 14 Nov ini merupakan penganjuran kali kedua sebagai platform menghimpunkan pelbagai aspek pendidikan dalam satu program.
Beliau berkata sidang kemuncak itu merangkumi pertandingan, simposium, konvensyen, penyelidikan dan inovasi serta pameran agensi pendidikan negeri Selangor.
Katanya, antara objektif penganjuran SES adalah menyediakan platform perkongsian ilmu, memperkenalkan peluang dan laluan pendidikan serta pembangunan kemahiran, selain memperluas pendedahan kepada STEM dan TVET.
Terdahulu, Amirudin turut melancarkan Selangor Programme for Aspiring, Ready and Knowledgeable Talents (SPARK) yang menawarkan elaun latihan industri sebanyak RM1,500 sebulan berserta modul khas, selain program Apple Awareness Education ASEAN dan Program e-PRAKTIS Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).
-- BERNAMA