KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa penuaan sihat mesti bersifat inklusif dan tidak seharusnya menjadi komoditi yang hanya dapat dinikmati oleh golongan berkemampuan.
Baginda bertitah meskipun tamadun moden telah berjaya meningkatkan jangka hayat manusia, keupayaan untuk menjalani usia lanjut dengan sihat, bermaruah dan bermakna tidak seharusnya bergantung pada kekayaan individu.
“Penggunaan ekonomi tidak seharusnya menjadi ukuran dalam menentukan nilai kehidupan manusia. Ekonomi perak perlu difahami bukan sekadar sebagai peluang pemasaran baharu kepada pengguna warga emas, sebaliknya sebagai penstrukturan semula ekonomi kita ke arah keterangkuman, inovasi dan kestabilan sosial.
“Keterangkuman sebenar memerlukan pelaksanaan konkrit dan praktikal. Penuaan sihat tidak boleh menjadi komoditi yang hanya dapat dinikmati golongan berkemampuan,” titah baginda pada High-Level Forum on the Silver Economy 2026: Healthy Longevity for Economic Growth hari ini.
Sultan Nazrin bertitah sekiranya kehidupan yang lebih panjang dan sihat merupakan antara pencapaian terbesar tamadun moden, manfaat daripada pencapaian itu tidak seharusnya bergantung pada baki wang dalam akaun bank seseorang.
Baginda bertitah bahawa akhirnya, sesebuah masyarakat dinilai berdasarkan sejauh mana peluang yang diwujudkan dapat dinikmati golongan paling rentan.
Sultan Nazrin turut menyeru supaya persekitaran dirancang bagi memelihara keupayaan individu secara aktif, bukan sekadar memenuhi keperluan mereka apabila keupayaan itu merosot.
“Penuaan sihat memerlukan infrastruktur yang sesuai, bukan sekadar perkhidmatan yang tepat. Kita tidak lagi boleh menganggap perumahan, penjagaan kesihatan, jaminan kewangan dan teknologi sebagai bidang dasar berasingan. Kesemuanya saling berkait dalam persekitaran kehidupan yang sama,” titah baginda.
Baginda bertitah dasar awam tidak seharusnya terbatas kepada penjagaan perubatan di institusi, sebaliknya perlu menjurus kepada pembentukan komuniti bersepadu yang membolehkan warga emas kekal aktif dan berdikari, di samping menerima sokongan yang dipertingkat mengikut perubahan keperluan mereka.
Sultan Nazrin turut memetik dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang diterbitkan awal tahun ini, menunjukkan hanya 14.7 peratus rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas memenuhi kriteria penuaan yang baik.
“Angka ini, yang menggambarkan jurang antara jangka hayat dan tempoh hidup sihat, seharusnya mendorong kita untuk merenung sejenak. Ia mengukuhkan pandangan pakar bedah dan penulis bidang kesihatan awam Dr Atul Gawande bahawa ‘matlamat utama kita bukanlah kematian yang baik, tetapi kehidupan yang baik hingga penghujungnya’.
“Matlamat ini menuntut kita melihat melangkaui statistik kelangsungan hidup semata-mata dan meneliti asas utama yang menyokong kehidupan lebih panjang,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah bahawa melihat populasi menua semata-mata daripada sudut perbelanjaan sempit akan menyebabkan kita mengabaikan nilai besar modal sosial dan insan yang dapat dipelihara menerusi penuaan lebih sihat.
Memetik Kerangka Strategik Penjagaan Malaysia, baginda bertitah analisis menunjukkan setiap ringgit yang dilaburkan dalam sektor penjagaan mampu menjana pulangan ekonomi lebih luas hingga RM7 menerusi peningkatan pertumbuhan ekonomi, guna tenaga dan pendapatan.
“Populasi dengan jangka hayat lebih panjang merupakan khazanah kebijaksanaan, pengalaman institusi dan bimbingan yang terkumpul selama ini. Kita tidak seharusnya menganggap peningkatan usia dan kebergantungan sebagai dua pekara sinonim. kedua-duanya tidak sama,” titah baginda.
Merujuk kepada Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penuaan: Memperkasa Warga Emas di ASEAN, Sultan Nazrin bertitah bahawa penuaan sihat perlu dirancang secara inklusif bagi memastikan akses saksama kepada penjagaan kesihatan, perkhidmatan awam dan langkah pencegahan pada setiap peringkat kehidupan.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin menerima anugerah Baroness Sally Greengross Award for Healthy Longevity Innovation daripada Ketua Pegawai Eksekutif Global Coalition on Aging Michael Hodin.
-- BERNAMA