Dunia 09/11/2026 08:49 PM

Iran Terbuka Kepada Rundingan Untuk Akhiri Situasi "Tiada Perang, Tiada Damai" - Presiden

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Iran Terbuka Kepada Rundingan Untuk Akhiri Situasi
Presiden Iran Masoud Pezeshkian - Kredit: Igor Ivanko/Pool Photo via AP

ISTANBUL, 9 Nov (Bernama-Anadolu) -- Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata pada Isnin Tehran kekal terbuka kepada rundingan bagi menamatkan situasi "tiada perang, tiada damai" di negara itu, sambil menegaskan bahawa Iran mahukan dialog dengan Amerika Syarikat (AS) berasaskan saling menghormati namun tidak akan tunduk kepada tekanan, lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap pada satu majlis, Pezeshkian berkata Pemimpin Agung Mojtaba Khamenei telah mengarahkan para pegawai untuk menamatkan keadaan "bukan perang, bukan damai", menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang Presiden Iran.

"Kami boleh berunding dengan bermaruah dan menyelesaikan isu ini secara terhormat. Kami memilih dialog dan rundingan," katanya.

Pezeshkian menegaskan bahawa kewarasan menuntut pertikaian diselesaikan menerusi rundingan berbanding peperangan selagi hak sesebuah negara dapat dipertahankan melalui dialog.

"Bagaimanapun, kami tidak akan tunduk kepada kekerasan dan pembulian," katanya.

Mengimbas kembali ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), presiden itu mengulangi bahawa Iran menuntut rundingan berasaskan keadilan dan syarat yang saksama, sambil enggan melepaskan haknya di bawah tekanan.

Merujuk kepada apa yang disifatkannya sebagai komplot oleh musuh Iran untuk melemahkan negara itu, Pezeshkian menekankan kepentingan memperkukuh pengeluaran domestik serta memenuhi keperluan negara bagi meningkatkan daya tahan dan kebebasan.

Beliau turut menggesa pemuliharaan tenaga dan penggunaan yang lebih cekap bagi mengatasi cabaran ekonomi serta isu berkaitan tenaga.

Kenyataan beliau dibuat di tengah-tengah usaha diplomatik bagi meredakan ketegangan antara Tehran dan Washington susulan serangan ketenteraan AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Feb lepas.

Kedua-dua negara menandatangani Memorandum 14 Perkara  Islamabad  pada Jun susulan rundingan yang diuruskan oleh Pakistan, namun percanggahan pendapat berhubung pelaksanaannya serta ketegangan ketenteraan yang kembali memuncak menghalang penyelesaian yang berkekalan.

-- BERNAMA-ANADOLU