Am 09/11/2026 08:44 PM

Sumali Kini Timbalan Presiden ASTAF, Menang Tanpa Bertanding

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sumali Kini Timbalan Presiden ASTAF, Menang Tanpa Bertanding
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan disahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) bagi penggal baharu.

ASTAF dalam kenyataan hari ini mengesahkan kemenangan itu susulan berakhirnya tempoh penamaan calon bagi Mesyuarat Agung Pemilihan badan induk berkenaan pada 5 petang waktu Malaysia hari ini.

Turut memenangi satu lagi kerusi Timbalan Presiden tanpa dicabar ialah Setiausaha Agung Persatuan Sepaktakraw Thailand Dr Srihassak Arrirachakaran.

Sementara itu, kerusi nombor satu badan induk sukan berkenaan turut menyaksikan Datuk Abdul Halim Kader kekal sebagai Presiden ASTAF tanpa bertanding selepas hanya menerima satu pencalonan.

Bagaimanapun, persaingan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Eksekutif tetap akan berlangsung susulan jumlah pencalonan yang dikemukakan melebihi bilangan kerusi yang ditawarkan.

Mesyuarat Agung Pemilihan di Bangkok pada 9 Dis ini bakal melengkapkan pembentukan barisan kepimpinan ASTAF bagi meneruskan aspirasi memacu sepak takraw sebagai sukan bertaraf dunia.

Sementara itu, Abdul Halim dalam kenyataan sama menegaskan keutamaan kepimpinan baharu adalah memperkukuh hubungan strategik dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

Beliau berkata usaha itu dilakukan bagi mempercepat usaha memenuhi keperluan pengiktirafan dan membuka laluan penyertaan sepak takraw pada Sukan Olimpik.

“Perjuangan kami belum selesai. Impian saya adalah melihat sepak takraw dipertandingkan di pentas Olimpik. Kita mesti terus bersatu, bekerja lebih keras dan memastikan sukan ini berkembang secara profesional, berintegriti serta memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA