MELAKA, 9 Nov (Bernama) -- Situasi dan perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang memasuki hari ke-10 hari ini adalah terkawal tanpa sebarang isu atau ancaman keselamatan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menerima beberapa laporan berkaitan perbuatan khianat bahan kempen di beberapa kawasan.
“Saya juga bagi jaminan kepada pengundi di negeri Melaka untuk beberapa hari berbaki ini, kempen akan terus berjalan tanpa mereka perlu rasa gundah-gulana, bimbang, takut tentang ancaman keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus dan Dialog Nelayan Bersama Menteri Dalam Negeri di Pangkalan Nelayan Lereh Tanjung Kling di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perjalanan kempen PRN Melaka ke-16, yang bermula sejurus selepas proses penamaan calon pada 31 Okt lepas.
Mengulas lanjut, beliau berharap perkembangan positif itu akan menjadi dorongan kepada pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada esok, manakala 14 Nov sebagai hari pengundian.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke- 16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026
-- BERNAMA