PADANG BESAR, 9 Nov (Bernama) -- Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) menubuhkan Volunteer Brigade PPKL sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan sukarelawan bagi membantu mangsa banjir serta melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Perlis.
Yang Dipertuanya Datuk Seri Zulfikri Osman berkata penubuhan pasukan itu juga, membuka ruang kepada lebih ramai golongan muda dan masyarakat pelbagai latar belakang untuk menyumbang khidmat bakti kepada negeri asal mereka.
Beliau berkata pasukan berkenaan akan memberi tumpuan kepada bantuan ketika bencana banjir, termasuk menyediakan bekalan makanan, membantu operasi pemindahan mangsa serta menyalurkan keperluan pakaian, perubatan dan sokongan kaunseling.
“Seperti yang kita tahu, pada hujung November tahun lepas, negeri ini dilanda banjir yang agak buruk sehingga banyak pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan lebih 1,000 mangsa.
“Di sinilah sukarelawan PPKL boleh memainkan peranan membantu mangsa banjir, ketika mereka berdepan keadaan sukar,” katanya dalam kenyataan selepas menyertai Program Senggaraan Elektrik Rumah Impian (SERI) 2026/27 anjuran PPKL dan GIATMARA, di sini.
Zulfikri berkata Volunteer Brigade PPKL akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Perlis, serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan bantuan dapat diselaraskan dengan agensi berkaitan apabila diperlukan.
Beliau berkata penubuhan pasukan itu juga merupakan sebahagian usaha PPKL menarik penyertaan ahli baharu, khususnya golongan profesional, pakar perubatan dan individu yang mempunyai kepakaran serta kesediaan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Selain bantuan bencana, pasukan itu turut dirancang melaksanakan aktiviti komuniti sepanjang tahun, termasuk kerja pembersihan rumah selepas banjir, mencuci masjid, program pendidikan dan kempen kesedaran masyarakat, dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Program SERI 2026/27 kali ini membabitkan 100 rumah terpilih di kawasan Parlimen Padang Besar, selain penyampaian sumbangan bakul makanan kepada golongan B40 yang terlibat.
Mereka yang berminat menyertai Volunteer Brigade PPKL boleh menghubungi Naib Yang Dipertuanya Hairizar Hakimi menerusi talian 019-222 8055 atau Penolong Setiausaha Hatta Husin (010-269 6727).
-- BERNAMA